Ayat magis untuk suami isteri

Kalau sudah suami isteri, memang harus tingkatkan keberkesanan komunikasi verbal. Setiap pasangan tiada kuasa magis untuk baca isi hati masing-masing. Kalau main agak saja pun belum tentu mengena. Lain pasangan, lain ayat cintanya. Namun objektifnya tak jauh beza. Hanya nak keserasian dalam rumah tangga.

 

ayat magis untuk suami isteri

Suami dan isteri melengkapi hidup antara satu sama lain.

 

1. Terima kasih sayang. Untuk lebih menghargai, ucapkan terima kasih pada pasangan yang berkorban untuk anda. Mereka akan rasa lebih bersemangat dan dihargai. Usah berat mulut nak ucapkan terima kasih.

2. Maafkan sayang. Rasa hormat akan wujud menerusi maaf. Mengalah bukan bermakna anda salah, tapi sebagai tanda penghargaan pada pasangan masing-masing. Mulakan hormat pada pasangan anda, dan mereka juga akan turut menghormati anda.

3. Mestilah sayang boleh. Semangat ada naik dan turun. Bila lihat pasangan anda nampak tak bersemangat, andalah orang yang harus membantu menaikkan kembali semangat yang hilang. Usah bergurau dengan merendahkan pasangan anda kerana anda tak tahu sedalam mana semangat mereka tenggelam.

4. Sayang usah risau. Ada waktunya masalah akan melanda dalam rumah tangga. Ujian akan tetap datang di masa susah dan senang. Hebat bagaimana sekali pun seorang isteri atau suami, pasti akan luntur juga di masa tertentu. Bertindaklah memujuk pasangan anda supaya fikiran yang bergelora dapat ditenangkan semula.

5. Usah begitu sayang. Suami dan isteri itu pelengkap di antara satu sama lain. Nasihat yang tulus dan jujur boleh menyentuh hati nurani pasangan. Di masa pasangan sedang memberi nasihat, turunkanlah sedikit ego untuk mendengar kata-kata hikmat pasangan anda. Dari situ anda boleh berusaha untuk berubah secara beransur-ansur.

Komunikasi adalah intipati kebahagiaan hidup dalam rumah tangga. Lihatlah sudah berapa banyak pasangan berpisah akibat gagal berkomunikasi dengan baik. Dari masalah yang kecil berubah kepada api persengketaan yang lebih marak.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki komunikasi dengan pasangan masing-masing demi kebahagiaan anak-anak dan keluarga tercinta. Jika tak dapat kawal emosi, anda masih boleh belajar untuk uruskannya.