Beli 4 Rumah Sebelum Usia 30 Tahun

Apr 05

Beli 4 rumah sebelum usia 30 tahun

Membeli rumah yang pertama adalah satu kebanggan. Sebelum ini mungkin duduk menyewa sahaja. Bagaimana pula jika anda nak beli 4 rumah sebelum usia 30 tahun? Harith Faisal anda kongsikan 20 tips untuk anda bermula.

1. Elak guna kelayakan maksimum. Jika anda mampu beli rumah bernilai RM300,000, cari rumah yang lebih rendah harganya iaitu RM250,000. Ia akan memudahkan anda untuk mendapat kelulusan dari bank dan memberi ruang kepada Debt Service Ratio (DSR). Setiap bank tidak sama kiraan DSRnya.

Jika Maybank boleh pinjamkan RM300,000, CIMB, BSN, Bank Rakyat dan Public Bank mungkin boleh beri RM260,000 sahaja. Pilihan lain yang ada ialah beli 2 buah rumah bernilai RM125,000 setiap satu. Mengapa anda tak digalakkan guna kelayakan maksimum semasa membeli rumah?

Jika anda kerja dengan gaji RM3,000 dengan komitmen kereta RM500 sebulan, anda mahu beli rumah dan duduk di situ. Kelayakan bagi pembiayaan rumah anda ialah RM260,000 dengan kadar DSR 60%. Setiap bulan anda perlu jelaskan ansuran sebanyak RM1,300. Anda tidak mampu untuk menjelaskannya setiap bulan kerana perkara-perkara di bawah ini :

  • Rumah RM1,300
  • Kereta RM500
  • Belanja ibu bapa RM200
  • Tol RM250
  • Minyak kereta RM300
  • Makan minum RM350
  • Takaful RM100
  • Bil RM100
  • Belanja dapur RM100

Jumlah keseluruhan RM3,200. Baki gaji yang tinggal ialah RM200

2. Mohon kad kredit sebelum beli rumah. Anda yang baru habis belajar di universiti tiada komitmen dan tiada rekod CCRIS. Tanpa sebarang rekod kewangan, sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman bank. Jadi anda perlu cipta rekod yang paling mudah iaitu kad kredit. Gunakan kad kredit tersebut untuk mengisi minyak kereta atau membeli barang keperluan.

Setiap bulan bayar kad kredit sepenuhnya. Selepas 3 ke 6 bulan, anda mohon untuk beli rumah yang pertama. Selepas permohonan berjaya, anda boleh batalkan kad kredit tersebut.

3. Sewakan rumah pertama. Jika rumah pertama anda duduk sendiri, sukar untuk menambah rumah yang seterusnya. Lebih-lebih lagi jika rumah tersebut mengambil komitmen gaji anda yang besar. Jika rumah pertama disewakan, hasil sewa setiap bulan dikira sebagai pendapatan anda. Jika simpanan anda kurang, maka lewatlah anda beli rumah yang kedua sekaligus mengurangkan kelayakan pembiayaan anda melainkan gaji anda memang besar.

4. Beli rumah dengan modal minimum. Cari rumah yang rendah harganya supaya deposit turut rendah. Jika layak, mohonlah pembiayaan 100%. Jika anda belum mahu beli rumah, anda masih perlu menyimpan untuk tabung rumah. Bila ada peluang, modal sudah tersedia.

5. Mohon pembiayaan ASB. Sediakan wang RM550 untuk memohon pembiayaan ASB sebanyak RM100,000. Selepas 5 tahun anda boleh dapat sekurang-kurangnya RM56,000. Ia boleh dianggap simpanan secara paksaan. Buat Uber secara sampingan pun boleh dapat RM550 sebulan. Jika tak dapat RM100,000 mohon untuk RM50,000.

Elakkan membuat pembiayaan ASB yang tinggi jika anda mahu beli rumah dalam masa yang terdekat. Ia akan memberi kesan pada DSR dan kelayakan pembiayaan anda. Selepas mendapat dividen, ia akan menjadi pendapatan anda yang diiktiraf bank.

6. Usah beli kereta dahulu. Kereta yang anda idamkan hari ini boleh susut nilai. Rumah yang berharga RM200,000 akan meningkat. 5 tahun lagi boleh meningkat ke RM300,000 dan belum tentu turun. Jika nak beli kereta, cari yang mampu dibayar dan tidak melebihi 15% gaji anda atau tidak melebihi gaji tahunan anda.

Jika gaji anda RM3,000 sebulan, 15% daripadanya ialah RM450. Maka cari kereta yang tak melebihi RM450. Jika setahun RM3,000 x 12 bulan, gaji tahunan anda ialah RM36,000. Carilah kereta yang tak melebihi RM36,000. Ada cara yang lebih baik untuk membeli kereta. Beli 2 buah apartment dengan ansuran bulanan RM700. Sewakan kedua-duanya dengan harga RM900.

Dengan lebihan tunai RM400 sebulan, anda boleh beli Proton Saga atau Perodua Bezza dengan percuma. Atau anda boleh pilih untuk simpan untuk buat deposit bagi rumah ketiga dan rumah yang seterusnya.

7. Beli melalui ejen hartanah berdaftar. Ejen hartanah boleh carikan rumah yang setara dengan bajet anda. Beritahu mereka gaji dan komitmen anda dengan jelas. Dari situ mereka boleh buat penilaian pendapatan anda dengan rumah yang anda mahu.

8. Elak gabung pinjaman untuk beli rumah. Suami dan isteri usah gabung pinjaman semasa memohon pinjaman rumah. Setiap pemohon hanya mendapat 90% ke 100% pembiayaan untuk rumah pertama dan kedua. Rumah ketiga dan seterusnya hanya akan dapat 70%. Ini tertakluk pada skor kredit dan kekuatan kewangan anda.

Buat pembiayaan 2 rumah guna nama suami dan 2 rumah guna nama isteri. Siap sedia untuk sediakan kos 30% dari harga rumah dengan wang sendiri.

9. Buat simpanan secara konsisten. Bagi yang bujang, usahakan untuk simpan 50% gaji anda di Tabung Haji, ASB atau tabung. Jika anda kerja dengan gaji RM2,000, pastikan RM1,000 masuk dalam simpanan. Bagi yang sudah berkahwin, simpan 30% gaji. Jika gaji suami dan isteri ialah RM4,000, gunakan RM2,800 sahaja dan baki RM1,200 simpan.

Simpan di Tabung Haji ada dividen 5%. Di ASB ada dividen 7.25%. Lebih untung daripada anda simpan dalam tabung.

10. Simpan tabung rumah sebelum kerja. Semasa anda masih belajar pun sudah boleh menyimpan. Wang biasiswa atau pinjaman pelajaran seperti PTPTN boleh disimpan dalam Tabung Haji dan ASB. Anda boleh buat kerja sampingan di KFC, Pizza Hut atau Deli France. Jangan bazirkan untuk beli telefon pintar yang mahal seperti iPhone.

 

beli 4 rumah sebelum usia 30 tahun

Tak mustahil untuk memiliki banyak rumah dengan cara yang betul.

 

11. Cari kerja tetap yang stabil. Sebelum tamat belajar di universiti, mulakan langkah anda untuk mencari kerja. Cari jalan untuk jelaskan pinjaman PTPTN anda. Jika anda lambat, orang lain yang akan rembat. Dapat kerja yang tetap boleh terus mohon pembiayaan rumah. Jika dapat kerja secara kontrak, terima dahulu sebagai pengalaman.

12. Rumah impian bukanlah rumah pertama. Dengan gaji RM2,500 tidak cukup untuk memiliki rumah mewah, perabot mahal dan ruang tamu luas. Jadi belilah rumah yang mampu dahulu. Usah tunggu harga bertambah mahal. Rumah yang berharga RM300,000 mungkin meningkat kepada RM1 juta, jadi usah beli rumah impian terlalu awal.

13. Cari rumah di bawah harga pasaran. Ada rumah yang dijual kerana terdesak. Anda yang nak membeli mesti berunding bagi mendapatkan harga yang terbaik. Dengan rumah jenis ini, anda boleh dapat pulangan wang. Cari rumah yang 15% lebih rendah dari harga pasaran rumah sekunder (subsale).  Kalau harga rumah di atas harga pasaran, susah nak sediakan modal.

14. Memiliki rekod CCRIS dan CTOS yang baik. Rekod CCRIS akan wujud bila anda buat pinjaman dengan bank. Lewat bayaran sebulan, CCRIS akan bertanda 1, jika lewat 3 bulan maka angka 3 akan tertera. CCRIS adalah rekod bagaimana anda membayar hutang anda. Pastikan anda dapat angka 0 kerana itu tanda anda membayar mengikut masa yang ditetapkan.

Semak rekod CTOS anda jika pernah jadi penjamin, atau tunggakan hutang dengan Courts, ansuran motor di kedai atau syarikat telekomunikasi.

15. Usah tangguh bayaran PTPTN. Masa belajar dahulu, wang PTPTN diguna untuk bayar yuran. Itu belum masuk belanja telefon bimbit, melancong dan belanja kawan. PTPTN dimasukkan ke CCRIS kerana sebahagian besar peminjam PTPTN tak mahu bayar balik wang yang dipinjam. Bila sudah masuk, barulah peminjam ada kesedaran untuk bayar semula.

Jika masih liat nak bayar, susahlah nak beli rumah dan kereta. Buat pinjaman peribadi pun belum tentu lulus.

16. Beli rumah yang mampu walau pun kecil. Jika anda kerja dengan gaji RM2,500 carilah rumah dengan nilai RM150,000. Di Lembah Klang, harga seperti ini boleh dapat rumah pangsa kos rendah atau kos sederhana. Rumah sekunder (subsale) adalah pilihan yang terbaik. Jika anda beli rumah besar, kos yang dikeluarkan pun besar juga.

Anda perlu sediakan kos 15% dari harga rumah untuk menampung kos perbelanjaan yang terlibat. Jika rumah RM150,000 perlukan modal RM15,000 sahaja. Rumah RM300,000 mungkin perlukan lebih RM30,000. Jika masih bujang atau baru sahaja berkeluarga, carilah rumah yang kecil atau sederhana dahulu. Rumah yang besar bukan guna semua ruang yang ada.

17. Belajar ilmu hartanah dan kewangan. Banyak tawaran yang diberikan oleh pemaju. Adakalanya anda tak perlukan pun perkara-perkara yang ditawarkan. Jadi belajarlah ilmu hartanah dan kewangan supaya dapat membezakan perkara yang perlu atau tidak. Sebelum wang melebur lebih baik melabur dalam ilmu dahulu.

Anda boleh beli buku-buku hartanah dan kewangan, seminar dan tips-tips yang dikongsikan oleh pelabur hartanah dan penasihat kewangan.

18. Berkawan dengan rakan yang positif. Untuk membeli hartanah, banyak perkara yang perlu anda lakukan. Di antaranya ialah berjimat-cermat. Ada rakan yang menganggap sikap tersebut sebagai kedekut. Harga rumah dikatakan mahal, bank kapitalis dan sebagainya. Anda ambil sikap yang positif dengan mereka.

Sekali-sekala sembang tental hartanah dengan mereka. Mungkin satu hari nanti mereka berubah fikiran. Namun bukan semua orang boleh berfikiran positif dan menerima nasihat anda. Orang lain tak boleh halang strategi anda mengawal perbelanjaan. Bila anda susah, bukan mereka yang bantu anda berdepan dengan masalah.

19. Bina jaringan dengan rakan berpengalaman. Masuk ke mana-mana kumpulan di laman sosial yang berkaitan dengan hartanah. Kini ada WhatApps dan Telegram. Pasti ada group khas untuk hartanah dan kewangan. Ada guru hartanah, pegawai bank dan ejen hartanah yang sudi berkongsi ilmu-ilmu tersebut.

20. Beli rumah pertama sebelum kahwin. Rumah sekunder (subsale) boleh dibeli sehingga 30% lebih rendah dari harga pasaran. Jika anda bijak, boleh dapatkan tunai untuk dijadikan belanja kahwin dan membeli rumah kedua. Keluarga mertua akan gembira bila tahu anda sudah ada rumah. Bersedialah untuk membeli rumah sebelum cari orang rumah.

 

Kesimpulan

Jika anda masih bujang, anda ada lebih banyak masa untuk berbakti kepada ibu bapa. Selain itu, anda yang selesai membaca artikel ini boleh nampak bagaimana untuk beli 4 rumah sebelum usia 30 tahun.

20 tips ini boleh anda gunakan untuk membeli rumah pertama, kemudian rumah kedua, ketiga dan keempat. Jika anda masih kabur, sila rujuk panduan pengurusan hartanah dan kewangan sekarang juga.

One comment

  1. Plan kewangan untuk beli rumah dan sewakan. Lepastu beli sendiri, dan duduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.