Hartanah

Beli Rumah Tanpa Slip Gaji

Beli rumah tanpa slip gaji

Bagi mereka yang kerjanya berniaga, peluang untuk membeli rumah sentiasa ada. Dengan cara yang betul, anda masih boleh beli rumah tanpa slip gaji. Ada kaedah khas untuk pastikan pembiayaan rumah yang dipohon lulus sepenuhnya. Di antara dokumen yang perlu disertakan untuk memastikan pembiayaan rumah lulus ada disenaraikan di bawah :

1. Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuk  borang E dan lampirannya.

2. Penyata akaun semasa bank syarikat sekurang-kurangnya 6 bulan. Jika anda ambil gaji, sediakan pula penyata akaun simpanan untuk akaun semasa tersebut.

3. Berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan buat taksiran cukai pendapatan. Sediakan slip untuk pengesahan penerimaan e-Billing untuk taksiran cukai dan bukti pembayaran sekiranya anda guna e-Filling.

4. Laporan Credit Rental Reference Information System (CCRIS) mesti dijaga dengan baik. boleh dapatkan salinan di Bank Negara atau di internet.

5. Jika anda memiliki simpanan yang banyak, kepilkan dalam permohonan anda sebagai dokumen sokongan.

 

beli rumah tanpa slip gaji
Tanpa slip gaji, rumah boleh dimiliki jika anda tahu rahsianya.

 

Cara bank kira pendapatan orang bisnes

Kira jumlah wang yang masuk dalam akaun bisnes tiap-tiap bulan. Kelebihan bila guna akaun semasa ialah ianya dikeluarkan setiap bulan bukan seperti akaun simpanan. Masukkan semua wang bisnes ke dalam akaun bisnes sebaik sahaja aktiviti bisnes selesai setiap hari. Apa sahaja bisnes yang anda buat, masukkan dalam satu akaun sahaja.

Bila bank lihat, kesemua wang bisnes anda keluar masuk dengan tersusun. Bila anda nak buat pembayaran, gunakan cek atau pindahan wang ke akaun penerima untuk lebih mudah dan selamat. Cara bank kira purata pendapatan bisnes boleh dirujuk dengan kaedah di bawah :

Contoh penyata (nilai dari jumlah kredit)

  • Bulan pertama RM55,000
  • Bulan kedua RM63,000
  • Bulan ketiga RM49,000
  • Bulan keempat RM52,000
  • Bulan kelima RM58,000
  • Bulan keenam RM60,000

 

Purata pendapatan bisnes anda dalam anggaran RM56,000. Jumlahkan seluruh pendapatan bisnes dan bahagi kepada 6 bulan. Bank memandang 20% daripada jumlah tersebut adalah gaji pemilik bisnes. Selain itu, ia dianggap kos operasi atau stok. Jumlah gaji pemilik bisnes dikira dengan 20% x RM56,000 = RM11,200. Ia adalah penentu kelayakan untuk dapat pembiayaan.

 

Adakah anda layak dapat pembiayaan rumah?

Ia tertakluk kepada pendapatan, komitmen, perbelanjaan dan disiplin sebagai peminjam. Laporan CCRIS anda akan menceritakan bagaimana disiplin anda. Setiap bank mempunyai polisi yang berbeza. Begitu juga dengan kiraan Debt Service Ratio (DSR) serendah 50% sehingga 70%. Jika bank hadkan DSR anda tak melebihi 60%, kiraannya adalah 60% x RM11,200 = RM6,720.

Contoh komitmen yang anda perlu selesaikan setiap bulan adalah kereta RM1,500 + rumah RM1,700 = RM3,200. DSR anda ialah RM3,200/RM11,200 x 100% = 28%. Jika anda mahu beli rumah RM400,000 dengan tempoh pembiayaan 30 tahun serta kadar keuntungan 5%, setiap bulan anda perlu jelaskan kira-kira RM1,900.

Kadar DSR terkini adalah RM3,200  + RM1,900/RM11,200 x 100% = 46%. Permohonan pembiayaan anda ada peluang tinggi untuk lulus jika DSR anda tidak melebihi dari kadar yang bank tetapkan. Pastikan jumlah keseluruhan komitmen anda tidak lebih dari DSR yang ditetapkan.

 

5 tips urus akaun semasa untuk mudahkan bank beri pembiayaan

1. Masukkan wang jualan yang berkaitan dengan bisnes ke dalam akaun semasa.

2. Keluarkan wang bisnes untuk urusan bayaran bisnes sahaja.

3. jika anda jadi ejen, pastikan komisyen dibayar ke akaun semasa bisnes.

4. Kurangkan urusan yang menggunakan wang tunai. Jika terima wang tunai, masukkan semula ke akaun semasa. Gunakan cara yang sama bila membuat bayaran pada pembekal.

5. Simpan penyata akaun simpanan untuk 6 ke 12 bulan. Cetak dari penyata perbankan internet. Boleh simpan fail penyata dalam bentuk PDF.

 

Wang yang masuk dan keluar dengan aktif disertakan bukti bisnes anda membuat untung amat disukai bank. Anda juga perlu sertakan penyata cukai pendapatan untuk menguatkan permohonan pembiayaan. Tarikh akhir untuk menghantar borang dan menyelesaikan bayaran cukai ialah 30 Jun setiap tahun.

Senarai dokumen yang bank perlukan untuk menunjukkan anda memiliki wang adalah seperti berikut :

1. Penyata akaun semasa untuk 6 bulan
2. Penyata cuka untuk 2 tahun
3. Resit zakat pendapatan
4. Surat lantikan ejen syarikat
5. Penyata bayaran komisyen ejen 12 bulan
6. Penjanjian sewaan (jika ada rumah sewa)
7. Buku akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera
8. Borang pendaftaran perniagaan SSM
9. Penyata KWSP jika pernah kerja makan gaji

 

Asasnya ialah, pendapatan dari perniagaan boleh dipadankan dengan akaun semasa anda. Sekiranya anda menjadi ejen dan menerima komisyen, pastikan ia sepadan juga dengan akaun semasa.

Pastikan akaun ASB atau Tabung Haji mempunyai simpanan wang secara konsisten untuk tempoh 6 bulan tanpa ada apa-apa pengeluaran untuk jumlah ansuran pembiayaan yang bakal anda bayar kepada bank. Langkah ini adalah bukti disiplin anda mampu membuat simpanan berterusan dan berkemampuan untuk membayar ansuran bank tanpa ada masalah.

 

Fail profail kewangan anda

Anda boleh sediakan sebuah fail yang dinamakan Profail Kewangan Peribadi untuk menyimpan dokumen yang disenaraikan sebelum ini dengan tersusun. Sertakan ringkasan dan pembahagi untuk setiap dokumen. Bawa fail ini semasa berjumpa dengan pegawai bank. Mereka akan menilai terus sama ada anda layak atau tidak untuk mendapat pembiayaan.

Pegawai bank boleh menyimpan salinan fotostat dokumen anda untuk dijadikan rujukan permohonan pinjaman anda. Ini sudah membantu mereka menguruskan permohonan anda dengan mudah.

Untuk lebih banyak contoh memiliki hartanah dengan cara yang bijak, sila rujuk kepada pelabur hartanah yang berpengalaman.

8 thoughts on “Beli Rumah Tanpa Slip Gaji”

  1. salam tuan ikwan fahmi.
    saya mempunyai masalah untuk membuat pinjaman perumahan di bank kerana status saya sebagai pekerja kontrak/sementara kerajaan. minta pendapat tuan bagaimana langkah yg sesuai untuk mendapatkan loan rumah bagi pekerja macam saya.

    tq.

  2. Salam Tuan Ikhwan,

    Saya bekerja sebagai Application Engineer bagi sebuah syarikat luar negara. Masalah saya, syarikat yang saya bekerja tidak mempunyai legal entiti di Malaysia. Disebabkan hal ini, saya tiada official payslip. Saya menerima gaji bulan-bulan melalui bank transfer dari luar negara. Ada cara bagaimana untuk saya memiliki rumah?

    Terima Kasih

    1. Waalaikumusalam,

      Boleh guna cara yang saya senaraikan dalam artikel ni. Kemudian bawa ke mana-mana bank untuk minta pegawai bank semak kelayakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.