Bisnes

Berniaga Tapi Barang Tiada Stok

Berniaga tapi barang tiada stok

Pada bulan Januari 2013, saya terjumpa satu iklan pembelian barang runcit dari seorang rakan. Beliau memperkenalkan ia sebagai JIMAN (bukan nama sebenar). JIMAN menawarkan pembelian barang runcit secara online. Ada banyak pakej yang ditawarkan. Bermula dari pakej untuk orang bujang sehingga untuk yang berkeluarga.

Saya pilih pakej bujang kerana ia yang terendah. Tambah lagi saya baru hendak mencuba membeli-belah barang dapur secara online. Pembelian dijalankan menerusi perkhidmatan Google Docs. Setelah mengisi borang, saya terus membuat pembayaran. Saya diberi tempoh sebulan untuk menerima pakej yang ditempah. Saya pun menunggu…

 

berniaga-tapi-barang-tiada-stok
Berniaga bukan sekadar tahu mengutip wang dan tempahan, tapi pengurusan kepada jualan yang dihasilkan.

 

Sudah sebulan, tiada penghantaran

Saya kira sudah lebih 30 hari menanti, tiada sebarang khabar berita dari JIMAN. Lalu saya menghubungi rakan saya memperkenalkan perkhidmatan tersebut kepada saya. Beliau menasihatkan saya untuk bersabar. Saya beritahu beliau kalau beli di kedai runcit pun tak lewat begini. Begitulah pada bulan Februari, berkali-kali saya bertanya, maka jawapannya tetap sama. Sabar dan tunggu.

 

60 hari sudah berlalu

Sudah memasuki 2 bulan tetapi barang yang ditempah belum ada khabar. Saya nekad menghubungi pihak yang mengendalikan jualan tersebut untuk mengetahui status tempahan. Barang yang ditempah tidaklah semahal mana, sekadar RM30 sahaja. Tetapi mengambil masa 2 bulan untuk diuruskan.

 

Kena bayar untuk 6 bulan

Akhirnya, pihak pengurusan memberi jawapan dengan jelas. Mereka mula memberi respons setelah saya komen Fan Page mereka di Facebook yang memaparkan aktiviti mereka yang sedang berurusan untuk mendapatkan bekalan. Saya nampak mereka berurusan dengan pembekal, namun bila mereka nak hantar barang? Salah seorang pengurus JIMAN menjawab soalan saya. Ia berpunca daripada masalah-masalah dalaman yang sepatutnya tidak diceritakan kepada pelanggan. Ianya diterangkan seperti berikut :

  • Pihak JIMAN memberitahu mereka akan menghantar tempahan di kawasan saya bermula 19 Mac 2013. Saya diminta untuk menghubungi rakan saya semula. Bermakna lambat lagi nak dapat barang.
  • Kakitangan yang menguruskan JIMAN masih tidak faham bagaimana nak menguruskan barang tempahan.
  • Pihak JIMAN membuat tempahan barang dari pembekal untuk tempoh 6 bulan, bermakna saya kena bayar untuk tempoh 5 bulan lagi. Semasa mula-mula membuat tempahan, saya tidak diberitahu tentang kontrak ini.
  • Pihak JIMAN mengumpul tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan bekalan dari pembekal. Bermakna mereka mengumpul wang orang ramai baru nak cari pembekal. Di akhir emel mereka memohon maaf kerana kesulitan yang ditimbulkan.
  • Di akhir bulan Mac 2013, barulah saya menerima tempahan yang dijanjikan. Bukan mereka hantar ke rumah, tetapi saya kena ambil sendiri di pusat edaran JIMAN.

 

Ada juga orang buat bisnes macam ini

Ini salah satu sebab mengapa orang yang sebangsa dan seagama dengan saya tidak maju. Jual barang yang tiada stok dalam tangan. Ambil tempahan banyak-banyak dan kumpul wang orang ramai baru nak uruskan bekalan. Kakitangan yang menguruskan jualan sendiri tidak tahu membuat kerja.

Benar, komen itu mudah. Tetapi saya percaya, ini bukan kerja setahun dua. Ini kerja yang sudah bertahun-tahun. Tetapi mengapa tiada penambahbaikan?

Akhirnya saya terpaksa menjadi pelanggan untuk 5 bulan lagi. Kerana mereka menganggap saya sudah menempah untuk stok 5 bulan. Saya boleh sahaja tak membayar, tapi mereka sebangsa dan seagama dengan saya.

Lepas 6 bulan, rakan saya pun tidak menghubungi saya lagi, mungkin beliau tahu saya marah pada beliau. Lepas menerima tempahan yang terakhir, saya tidak lagi berurusan dengan rakan saya mahu pun JIMAN.

Saya sudah serik. Lebih baik saya cari orang yang buat bisnes di Shopee.

1 thought on “Berniaga Tapi Barang Tiada Stok”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.