Bisnes sampingan jadi bisnes sepenuh masa
Sejak sekolah rendah lagi saya sudah belajar menjual nasi lemak yang emak buat. Sebungkus jual 20 sen, sehari boleh jual 10 bungkus. Jual dekat kawan-kawan sekolah. Suatu hari cikgu kelas tahu saya jual nasi lemak. Cikgu panggil dan beritahu saya tak boleh berniaga di sekolah. Nanti pendapatan makcik kantin terjejas. Mereka bayar sewa pada pihak sekolah.
Di sekolah agama di sebelah petang, saya jual aiskrim sebatang 10 sen ke 20 sen. Macam-macam jenis aiskrim tapi mungkin sebab aiskrim yang kawan saya jual lagi sedap, jualan aiskrim saya menurun. Pernah satu hari bekas aiskrim saya jatuh, semua aiskrim berterabur kena pasir. Hari itu tak ada siapa beli aiskrim saya. Bila masuk sekolah menengah, saya jadi malas nak berniaga lagi.
Selepas mendapat keputusan SPM pada tahun 2000, saya mula berdikari untuk mencari nafkah hidup. Sebagai orang bujang, tenaga masih kuat dan sihat untuk bekerja. Saya mulakan dengan kerja sementara dengan membantu pakcik di pasar malam. Jual barang-barang makanan seperti bawang, kentang, ikan masin, ikan bilis dan tepung-tepung makanan. Gaji RM400 sebulan di usia 18 tahun memang cukup pada masa itu sebab tinggal dengan pakcik.

Belajar ikat perut di universiti
Lepas dapat masuk UiTM Seri Manjung dalam jurusan Diploma Senilukis dan Senireka Seramik (kini berpindah ke UiTM Seri Iskandar) saya memulakan bisnes printing secara sampingan. Modal komputer dan printer dihadiahkan oleh ayah saya. Boleh dikatakan wang pinjaman dari Yayasan Selangor banyak disimpan kerana saya mendapat untung yang cukup untuk menampung belanja saya di sana.
Rakan-rakan lain dapat PTPTN beli telefon baru, saya simpan dahulu. Waktu itu telefon bimbit bukanlah satu kepentingan seperti hari ini. Hujung semester masing-masing kekeringan wang, saya baru nak membeli-belah seluar dan baju baru. Ada kawan-kawan yang berhutang bisnes dengan saya, bila saya tiada wang barulah saya kutip hutang. Mereka adalah mesin ATM saya.
Saya mendapat rezeki menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam dalam Sarjana Muda Senilukis dan Senireka Grafik. Di sini bisnes printing agak perlahan jadi saya mencari alternatif lain iaitu berkhidmat dengan Kolej Meranti iaitu menjaga makmal komputer. Upah maksimum yang saya dapat sebanyak RM400 sebulan saya gunakan untuk simpanan dan belanja harian.
Di UiTM Shah Alam saya amat berjimat cermat untuk menyimpan wang. Sebelum pinjaman Yayasan Selangor masuk, saya menggunakan simpanan semasa diploma sebagai pendahuluan. Selepas semester ke 3, hasil simpanan saya digunakan untuk membeli motorsikal terpakai berjenama Yamaha bernilai RM3,000. Motorsikal tersebut saya gunakan sehinggalah saya berkahwin.
Semasa pengajian di UiTM, saya berjinak-jinak dengan bisnes affiliate. Di sinilah saya belajar menjual ebook sehingga mendapat RM1,000 dalam masa seminggu. Dari situ juga saya mula kenal-mengenal dengan tokoh-tokoh bisnes internet seperti Irfan Khairi, Jamaluddin Bahari, Muaz Hadi, Rahman Basri dan Gobala Krishnan. Laman sosial Friendster saya manfaatkan untuk belajar cara bisnes mereka.
Kerja grafik tidak tentu hala
Selepas tamat belajar, saya bekerja dengan majikan Melayu. Tidak sampai setahun saya berhenti kerana pihak majikan gagal membayar gaji dan KWSP secara konsisten. Kemudian saya bekerja dengan majikan Cina. Selepas 3 tahun saya berhenti kerana mendapat tawaran sebagai pensyarah subjek grafik. Kali ini saya bekerja dengan majikan India selama 4 tahun.
Sebelum berhenti kerja, saya kembali menjalankan bisnes bisnes affiliate. Hasil kali ini amat lumayan kerana saya sudah menggunakan pemasaran emel dengan sepenuhnya. Saya pernah mendapat komisyen sehingga RM10,000 yang saya gunakan untuk belanja perkahwinan saya pada tahun 2011. Jumlah tersebut saya kumpul dalam masa 2 minggu sahaja.
Pada tahun 2007, saya melibatkan diri di laman sosial Facebook. Di situ baru saya belajar cara-cara menjual di Facebook. Saya memilih untuk menjual menerusi niche kerja kerajaan. Setelah mencuba pelbagai teknik dan trial and error, saya berjaya membuat komisyen sekurang-kurangnya RM500 sebulan.
Tidak pernah berhutang sehinggalah…
Selain pinjaman Yayasan Selangor, saya tidak pernah berhutang dengan mana-mana institusi kewangan. Pada masa bujang, saya mengelakkan daripada membuat pinjaman kereta kerana saya khuatir tidak dapat membuat simpanan lagi. Bayar sewa beli kereta mencecah RM500 sebulan, itu tidak termasuk dengan kos minyak, kos selenggara dan kos kerosakan lagi.
Saya telah membuat keputusan untuk membuat pinjaman peribadi. Barangkali ini adalah keputusan yang salah. Namun saya lakukan juga kerana mahu mencipta rekod dengan pihak bank. Suatu hari nanti, saya akan beli rumah untuk keluarga saya. Waktu itu, harga sebuah rumah apartment ialah RM155,000. Saya masih belum berani membeli kerana baru sahaja berhutang dengan bank.
Kahwinlah dengan gadis yang sudah berkereta
Untuk mendirikan sebuah mahligai perkahwinan, saya akui mahu buat ala kadar sahaja. Namun belanja ala kadar tetap kena keluarkan belanja. Belanja kahwin RM10,000 memang boleh tampung, namun selepas kahwin, ada banyak lagi perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Nak sewa rumah, belanja anak yang bakal lahir dan macam-macam lagi.
Saya tidak berhajat untuk membeli kereta, jadi saya memilih gadis yang sudah ada kereta sebagai pasangan hidup. Saya cuma perlu cari sebuah rumah untuk keselesaan keluarga. Dengan berbekalkan komisyen affiliate berjumlah RM5,000 kami mencari rumah apartment di Shah Alam untuk dibeli. Harga rumah apartment pada masa itu sudah mencecah RM178,000 dengan keluasan 918 kaki persegi.
Deposit pembayaran saya selesaikan dengan beberapa sumber iaitu wang gaji, komisyen affiliate dan wang KWSP dicampur dengan wang isteri. Keluarga mertua turut membantu kami mendapatkan rumah tersebut. Banyak perabot yang dihadiahkan kepada kami termasuklah sofa, meja makan, katil, almari dan peti sejuk.
Berhenti kerja pensyarah untuk jadi kuli
Tahun 2013 adalah tahun yang getir. Saya nekad untuk berhenti kerja pensyarah dan buat bisnes affiliate sepenuh masa. Syarikat Infokerjaya Resources telah ditubuhkan bersama dengan sahabat Muaz Hadi dan Syed Faiz atas pakatan setiakawan. Selepas ini saya akan jadi kuli kepada syarikat sendiri. Tinggalkan kerja yang popular di mata masyarakat dan bekerja dengan gaji yang lebih rendah.
Kerja sendiri pastinya tidak glamour. Pendapatan juga tidak menentu. Masa pun tidak seperti kerja pejabat. Ada kerja yang sudah dibuat tapi tidak dapat hasil atau tidak balik modal. Ia amat berbeza dengan kerja dahulu. Gaji sudah sedia menanti di hujung bulan biar pun kerja tidak seberapa. Semasa bisnes belum mendatangkan untung, sudah pasti hinaan datang menggunung.
Gaji rendah, syarikat kaya
Tahun pertama kami berbisnes sudah menunjukkan tanda-tanda kegemilangan. Jualan syarikat mencecah RM1 juta setahun. Walau bagaimana pun, saya masih memilih untuk hidup di bawah kemampuan. Pergi kerja dengan motorsikal, t-shirt kolar bulat dengan seluar trek dan berselipar sahaja. Itu sudah cukup sebab bukan kerja nak jumpa menteri.
Bila sudah kerja sendiri, gaji bukan lagi menjadi keutamaan. Pendapatan syarikat sama ada tinggi atau rendah kini menjadi tumpuan. Dengan wang syarikat, banyak perkara yang boleh dibuat. Contoh paling mudah ialah bercuti dengan wang syarikat, bayar cukai dan zakat, bayar komisyen dan menganjurkan kursus serta bengkel. Gaji biar kecil asalkan komisyen tinggi.
Isteri saya turut menuruti jejak saya. Beliau mahu mengambil alih bisnes dobi dari ayahnya. Lebih kurang setahun membuat persediaan, beliau mendapat pinjaman dari MARA dan menambah beberapa mesin basuh dan mesin pengering bagi melancarkan servis. Beliau tinggalkan kerja jurutera kilang yang sudah beberapa tahun memberi gaji lumayan.
Tuhan mendidik dengan kesusahan
Saya akui, semua perkara yang dirancang tidak semestinya berhasil seperti yang diharapkan. Bukan semua perkara diperolehi dengan senang. Nak kahwin kena usaha cari belanja, nak beli rumah pun cari belanja dan bila sudah dapat pun ada cabarannya. Komputer riba saya pernah rosak semasa saya tidak berduit. Rumah yang dibeli pula ada risiko pinjaman ditolak kerana dekat dengan loji rawatan air.
Isteri saya turut diuji. Pinjaman dari PUNB ditolak lalu kena mohon pinjaman MARA. Untuk dapat pinjaman MARA, perlu cari penjamin. Sudah hantar permohonan kena selalu telefon untuk dapat tahu status. Kejayaan takkan datang begitu sahaja. Untuk menghasilkan pedang yang berkualiti, besi perlu dibakar dan ditempa berulang kali.
Kejayaan dalam perjalanan
Bagi setiap individu, kejayaan itu berbeza dengan pendapat masing-masing. Orang lain menilai dari segi kuantiti, wang dan harta. Bagi kami, keluar dari kepompong keselesaan adalah satu kejayaan. Keluar dari kuadran E kepada kuadran S adalah satu kejayaan. Perjalanan ke kuadran B masih jauh apatah lagi kuadran I.
Biarlah apa pendapat orang, asas kejayaan bermula dengan matlamat. Semasa saya berhenti kerja untuk buat bisnes affiliate sepenuh masa, saya sendiri tidak nampak ianya akan berjaya. Namun saya nampak matlamat saya untuk kehidupan yang akan datang. Tidak selamanya saya mahu keluar kerja 9 pagi hingga ke 5 petang menempuh kesesakan jalan raya setiap hari.
Besar bezanya kerja makan gaji dengan syarikat orang dengan makan gaji dengan syarikat sendiri. Saya mahu bekerja sambil melihat anak-anak membesar di depan mata. Saya mahu bercuti disaat orang lain sibuk bekerja. Saya mahu beribadat dengan hati yang tenang. Saya mahu hidup tenang tanpa hutang. Kejayaan mungkin masih belum tiba, jadi saya percaya perjalanan perlu diteruskan lagi.
*Jika anda nak menjadi sebahagian daripada agen affiliate syarikat kami, terus sahaja daftar di link pendaftaran ini. Kami sudah membayar lebih dari RM500,000 komisyen kepada agen-agen affiliate yang berjaya membuat jualan.
lain penangan kalau kita buat part time dan juga buat full time ni..
oh pt3 recently posted…English PT3 Exercise – Koleksi Soalan dan Jawapan
Tahniah kerana berjaya dari kegagalan dan tidak mengamalkan berhutang dari muda lagi…
Noriza Rahman recently posted…1001 Khasiat Sebiji Lemon , Penyembuh Semulajadi
Alhamdululillah semua tu rezeki Allah swt
ada orang kerja macam lembu siang malam masih tak kaya kaya
apa yang kita usaha semua milik Allah
Mazni Azmi recently posted…Patutlah pantang larang pesakit buah pinggang penting! Rupa rupanya…
SAYA SANGAT TERMOTIVASI membaca perjuangan panjang menghadapi kehidupan anda bro ikhwan
jalan jalan recently posted…Nostalgia Masa Kuliah Di Bandung
motivasi ni.. kalau nak berjaya kena redah ape je
nikkhazami recently posted…Fakta Menarik Star Wars The Last Jedi
Pengalaman itu yang pentingkan.. Bermula dari bawah, dengan usaha berterusan pasti boleh naik ke atas
Dedaun Comel recently posted…Anda Perlu 10,000 Jam Untuk Menjadi Hebat
Benar, usaha juga harus konsisten untuk berjaya capai apa yang diharapkan.
inspirasinya artikel ini tuan. terima kasih atas perkongsian menarik ini.
Perniagaan ada naik turun nya
dan perlu ada seni menguruskan masa
lagi bagus dapat mula masa kerja
Cuma jaga hak majikan. Gaji dah di bayar
Mama Hakim recently posted…Takaful keluarga terbaik? Perlu ke ambil zaman sekarang ni!