Bonda gering isteri pula keguguran
Tahun lepas kira-kira 19 Disember 2014, adik-beradikku mengkhabarkan bonda kami sedang gering di desa. Demam berpanjangan sudah berlarutan tak kunjung sembuh. Aku mengambil keputusan untuk berangkat ke kampung dari Shah Alam pada jam 11.30 malam. Ini merupakan sebahagian dari kisah bonda gering isteri pula keguguran.
Perjalananku seorang diri hanya ditemani hujan gerimis yang bersilih ganti dengan hujan lebat. Anak dan isteri kutinggalkan di rumah mertua kerana isteri sedang mabuk berbadan dua. Bimbang kalau dibawa hanya memudaratkan suasana.
Setibanya di desa, aku sedih melihat bonda terlantar keseorangan. Itu nasib bonda sebagai ibu tunggal. Selepas berpisah dengan ayahanda, bonda memilih untuk tinggal sendirian. Pernah bonda berkahwin tetapi jodohnya tak panjang. Selain rempeyek dari hasil tangannya, bonda berkebolehan untuk mengurut secara tradisional untuk rakan-rakan wanita dan bayi.
Bonda tak selera menjamah makanan walau sedikit pun. Sesudu kuah sup dan sesuap nasi sudah cukup baginya. Aku berjaga lewat malam kerana tak bisa beradu kerana bonda kerap mengaduh sakit kepala. Aku tak bisa mengurut seperti bonda, hanya memicit kepalanya di kiri dan kanan untuk meringankan sakitnya.
Seorang bonda boleh berikan nyawa pada anaknya
Aku pun tak faham dengan kenyataan ini. Tapi aku bisa mengerti. Semasa aku ditimpa sawan semasa bayi, sudah pasti bonda tak tidur menjaga aku. Belum dibilang lagi susu yang aku nikmati semasa bayi. Semasa aku ditimpa sawan sangit di rumah arwah embah, bonda datang dari Sungai Besar semata-mata nak melihat aku di Bagan Datoh.
Bonda tak mahu makan bubur nasi yang aku masakkan. Barangkali begitulah sikap aku semasa kecil dahulu, tak mahu makan kerana tiada selera.
Mataku berkaca sehingga dinihari…
Keesokan paginya aku bawa bonda ke klinik. Doktor wanita di situ memang kenal dengan bonda. Ujarnya, bonda sudah banyak mengurut, jadi perlukan rehat yang secukupnya.
Baliklah, bonda sudah sihat
Itu kata bonda. Bimbang aku tak siap kerja kalau menjaga dia. Tidak. Aku pilih untuk temankan bonda minggu ini. Aku kerja sendiri, aku punya waktu sendiri. Aku sudah bilang pada majikanku untuk pulang ke desa.
Demam bonda datang kembali, aku bercadang untuk membawa bonda ke hospital Tengku Ampuan Jemaah yang kira-kira 5km dari rumah bersama kakak sepupuku. Di situ bonda dimasukkan ke dalam wad. Doktor dan jururawat membuat keputusan yang bonda demam biasa. Sungguh pun begitu, tubuh bonda perlu dimasukkan air.

Selain bonda, ada beberapa orang kanak-kanak yang seusia dengan anakku turut dimasukkan wad. Lantas aku teringat dengan anak dan isteriku di rumah mertua. Baru beberapa hari tak ketemu aku sudah berasa rindu. Namun aku harus selesaikan urusan kesihatan bonda.
Dahulu ayah kerap ke Institut Jantung Negara. Masa itu abangku yang menemaninya. Kini giliran aku untuk berbakti kepada bonda. Berulang kali bonda menyuruhku duduk sebab tak mahu aku kepenatan menunggu.
Kira-kira jam 12 malam baru selesai urusan di hospital. Esok kami perlu datang lagi untuk pemeriksaan darah bonda.
Keesokan paginya, aku hantar bonda ke hospital. Doktor mengesahkan bonda tiada apa-apa. Adik perempuan tunggalku mencadangkan bonda di bawa ke Kuala Lumpur supaya dapat beliau menjaganya.
Kami bertolak lebih kurang jam 4.00 petang. 5.30 petang sudah sampai di Shah Alam. Perjalanan tidak menyesakkan kerana aku pulang semasa hari bekerja. Adik perempuanku tiba lebih kurang jam 7.00 malam bersama suami dan anak-anak.
Hatiku sedikit terhibur dengan telatah anak-anaknya. Bermain dan berbual bersama.
Mimpi ngeri baru sahaja bermula
Keesokan harinya, isteriku menghantar mesej menerusi WhatApps, kandungannya yang berusia 2 bulan baru sahaja gugur! Aku terdiam dan menenangkan diri. Perlahan-lahan aku bersiap menuju ke rumah mertua. Hari itu kira-kira 22 Disember seingat aku.
Setibanya di sana, terpancar kesedihan dari wajah isteriku. Biar pun situasi di rumah mertuaku agak tenang, tapi hati di dalam siapa yang tahu. Aku memeluk isteriku tanpa sebarang kata. Kami bergerak terus ke Hospital Kajang untuk membuat pemeriksaan lanjutan. Doktor bertanyakan sama ada hendak cuci rahim atau tidak, kerana pintu rahim masih tertutup. Isteriku memilih untuk menunggu kantung di dalam rahim keluar sendiri.
Sebelum ini isteriku sudah pun ke klinik berhampiran bersama ibu mertuaku. Imbasan gambar dalam rahim menunjukkan tiada janin dalam kandungan. Hanya ada kantung kosong yang dipenuhi darah. Rahim isteriku perlu dibersihkan.
Keesokan paginya, darah dari rahim keluar dengan banyak. Ibu mertuaku kelam kabut sambil memanggil aku. Isteriku hampir pitam kerana darah banyak yang keluar tanpa henti.
Aku tak boleh panik sebab nanti tak boleh berbuat apa-apa. Dengan sepantas yang boleh aku membawa isteri ke Hospital Kajang. Sebak hatiku melihat darah yang membasahi kain isteriku.
Isteriku dimasukkan ke dalam wad semalaman, untuk membersihkan rahimnya perlu menunggu giliran. Jadi aku pulang ke rumah untuk mengambil beberapa persalinan supaya memudahkan urusan isteriku.
Doktor dan jururawat termasuklah semua staf hospital memberikan perkhidmatan yang terbaik. Aku terhutang budi dengan mereka. Sebelum pulang ke rumah, isteriku meminta wafer coklat sebagai santapan. Maklumlah dalam wad kena puasa, ada pun masuk air sahaja.
Aku tahu isteriku masih sedih dengan keguguran kandungannya. Tak mengapalah asalkan peluang untuk mengandung lagi masih ada. Reda dengan takdir Illahi, semuanya bisa dibawa pergi.
Sedih baca.
Ala hikmah setiap yang berlaku.
Past akan digantikan dengan yang lain ataupun lebih baik.
AZENI AHMAD recently posted…Pendidikan Seks: 5 Cara Untuk IbuBapa Fahamkan Anak-Anak
Bukan mudah seorang isteri menerima ujian sebegini. Moga sabar berdepan ujian Allah.
rika recently posted…Kesan Buruk Diabetis Ketika Hamil
tak apa.
masih muda.
masih boleh mencuba. 🙂
ohcikgu recently posted…Takwim Persekolahan dan Cuti Sekolah Tahun 2015
Allah akan berikan yang lebih baik. InshaaAllah.
Semoga bonda dan isteri bertambah sihat.
Kak Kep recently posted…Kem Smart Solat : Aktiviti Cuti Sekolah Yang Ohsem
Semoga bonda ikhwan cepat sembuh dan insyaallah yang lebih baik menanti untuk isteri dan ikhwan sendiri
emalinmohd recently posted…6 Cara Menyelesaikan Masalah Rambut Dengan Vitamin
Terima kasih atas doanya 🙂
Terima kasih atas doa tuan 🙂
Allah menguji hamba-Nya berdasarkan kemampuannya.. Insyallah pasti Allah gantikan yang terbaik untuk tuan dan keluarga..
Ain Ridzuan recently posted…ANUGERAH JUARA LAGU KE 9 CALIPH BUSKERS
Terima kasih atas doanya 🙂
Terima kasih atas doanya 🙂
mudah-mudahan Ikhwan dan isteri tabah dengan dugaan ini…pasti Allah akan gantikan dengan yang terbaik
Puteri Kasih recently posted…Ribuan Kucing Hampir Dijadikan Hidangan
Terima kasih atas doanya.
Terima kasih atas doanya.