Kehidupan

Drama Wang Atau Cinta Dan Perspektif Kerjaya

Drama wang atau cinta dan perspektif kerjaya

Saya jarang menonton televisyen. Kalau ada pun kena tunggu orang lain tengok baru saya tengok. Ada satu drama yang menarik perhatian saya. Tajuknya Wang Atau Cinta. Bukan sebab ia menggunakan cinta sebagai tarikan, tetapi perjalanan kerjaya dalam kisah ini.

 

Ringkasan mengenai drama Wang Atau Cinta

Pelakon utama yang bernama Zairil merupakan seorang graduan, namun beliau masih belum mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Bekerja di kedai runcit pun kena marah dengan keluarga dan dipandang rendah oleh rakan-rakannya. Berhutang dengan pemilik rumah sewa pun boleh tahan jumlahnya.

 

drama wang atau cinta dan perspektif kerjaya
Salah seorang pelakon yang mengambil bahagian dalam drama Wang Atau Cinta.

 

Beliau telah bergaduh dengan rakan sekerjanya sehingga dibuang kerja. Lebih malang lagi apabila beliau ditinggalkan kekasihnya kerana dikatakan tidak mampu menyaranya kelak. Keputusan ini dibuat kerana Zairil telah berhutang dengannya. Kemudian sahabat baik Zairi memujuk majikannya untuk menerima Zairil bekerja dengannya.

Semasa pulang dari kerja, Zairil berkenalan dengan seorang anggota polis, Nurfarhani kerana keretanya rosak di tepi jalan. Nurfarhani amat tertarik dengan Zairil yang membaiki keretanya dengan percuma. Zairil dikatakan amat beruntung kerana beliau amat mengambil berat tentangnya.

Amat malang apabila tuan rumah datang menuntut hutang di tempat kerjanya. Disebabkan terdesak, Zairil ditawarkan untuk membuat satu kerja oleh majikannya. Zairil telah bersubahat dengan majikannya untuk melakukan rompakan. Lama kelamaan, kegiatan jenayah Zairil dan majikannya terbongkar akhirnya.

 

Apa salah Zairil?

Di sini kita dapat mengambil pelajaran yang bermanfaat dari drama ini :

1. Rancang kerjaya dengan baik. Jika anda berminat untuk menjadi seorang jurutera, kenal pasti apakah pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Selain itu, perhatikan apakah peluang pekerjaan dan syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan sesuai dengan kelulusan sebagai seorang jurutera. Sebelum pergi ke temuduga kerja, pastikan anda semak senarai jawatan kosong untuk menghantar resume terlebih dahulu. Tiada resume bagaimana nak dipanggil ke temuduga? Kalau tak tahu nak tulis resume boleh belajar tulis resume.

2. Rancang kewangan dengan serius. Rancang perjalanan kewangan anda bermula dengan wang yang diterima dan wang yang keluar. Utamakan untuk membuat simpanan dan kemudian membayar hutang-piutang yang ada. Sekiranya wang anda tidak mencukupi, gunakan kemahiran yang anda miliki untuk membina saluran wang yang lain.

3. Bersikap jujur. Usah berbohong dengan sesiapa sahaja. Sekali anda menipu, mungkin sampai bila-bila anda tidak dapat mengikis sikap buruk ini. Anda mungkin boleh menipu orang lain, tapi bukan diri sendiri.

4. Berfikiran positif. Gunakan fikiran anda dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai satu hasil yang cepat, ada banyak cara yang boleh digunakan kecuali cara yang menyalahi undang-undang. Sekiranya anda menghadapi masalah, maka anda perlu merancang untuk menyelesaikannya mengikut keutamaan. Jika anda masih tidak dapat menyelesaikannya, anda boleh mendapatkan nasihat dari mereka yang pakar mengenainya.

5. Sabar. Beri peluang kepada diri anda untuk berjaya. Ketepikan semua cemuhan dan kata-kata yang boleh menjatuhkan anda. Tolak perkara yang boleh menjejaskan matlamat kerjaya anda.

Jadi sekiranya anda menonton sesebuah drama di televisyen, nilaikan ia dari sebuah perspektif kerjaya, bukan sekadar hiburan semata-mata.

20 thoughts on “Drama Wang Atau Cinta Dan Perspektif Kerjaya”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.