Kehidupan

Kenapa Menantu Tak Hormat Pada Mentua

Kenapa menantu tak hormat pada mentua

Bila seorang yang bujang berkahwin dengan pasangannya, maka ibu bapa pasangan tersebut akan menjadi orang tuanya, sama seperti ibu bapanya sendiri. Di awal perkahwinan, menantu amat menghormati pada mentuanya. Akan tetapi, mengapa lama-kelamaan rasa hormat itu pudar? Kenapa menantu tak hormat pada mentua?

Pasti ada sebab yang munasabah mengapa ini semua terjadi. Tak mungkin si menantu boleh jadi kurang ajar pada mentuanya secara tiba-tiba. Tak mungkin si menantu menjadi tawar hati pada mentua tanpa sebarang sebab yang munasabah.

 

kenapa menantu tak hormat pada mentua
Adakah mentua mahu menghabiskan sisa hidupnya di rumah orang-orang tua tanpa di sini anak dan menantu?

 

Sikap mentua yang tidak matang

Ini boleh disebabkan oleh perangai mentua yang tidak mencerminkan contoh yang baik. Contoh paling mudah ialah mentua menjaga amal ibadahnya seperti solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, akan tetapi mentua tidak menjaga pertuturannya. Contohnya, mentua datang ke rumah anak menantu sambil menjaja keburukan anak menantu yang lain.

Mentua mengatakan ia sekadar nak menegur atau meluahkan rasa, namun tindakannya hanya sekadar menjauhkan lagi jarak perhubungan antara adik-beradik atau biras, ibarat gunting yang bergerak tetapi memutuskan kain. Mengapa tidak mentua menegur sahaja anak yang berbuat salah, daripada mencanangkan buruk anak menantu pada birasnya?

Mentua bukanlah orang muda lagi, amal ibadahnya juga sudah hebat. Berjaga malam untuk menunaikan qiamulail, tapi mengapa disiang harinya mentua sibuk membawang? Manakah perginya akhlak seorang mentua?

Jika anak sendiri melihat perangai ibu bapanya, baginya itu adalah perkara biasa. Bagaimana pula jika menantunya yang melihat? Sudah pasti si menantu akan membandingkan mentua dengan ibu bapanya.

 

Mentua fikir semua perkara dia pandai

Ada mentua yang suka sembang kencang, bagi nasihat, bagi pendapat yang menunjukkan beliau serba tahu. Si menantu pun bukan budak-budak lagi, tak perlu dibebel macam anak kecil. Kalau menantu sudah berumur 30an, tak perlulah dibebel bagaikan budak yang belasan tahun.

Mentua bukanlah orang yang membesarkan menantu, sebab menantu dibesarkan oleh mentua. Dia ada ibu bapanya sendiri, sudah pasti dia selesa dengan cara ibu bapanya. Ada mentua yang suka member nasihat yang sama berulang-ulang kali walau pun sudah hampir 10 tahun anak itu menjadi menantunya.

Kata orang, biasalah orang tua memang suka membebel. Benar, tapi bukan semua. Ada orang tua yang hanya akan bercakap bila perlu sahaja, bukan semua perkara dia nak beritahu.

Harus diingat, menantu bukanlah orang yang tiada ilmu pengetahuan. Malah ada yang jauh lebih bijak dari mentua. Sebagai anak, sudah pasti menantu akan menghormati mentuanya, tetapi bila si mentua asyik membebel, lama-kelamaan menantu tiada minat lagi untuk berbual-bual seperti dahulu.

 

Kesilapan mentua yang sering dilakukan

Ada mentua yang suka menceritakan berapa ringgit yang anak-anak beri setiap bulan. Katakan anak yang tua bagi sekian jumlah, anak lain beri lebih banyak, anak lain beri sedikit dan ada anak yang sekejap hulur sekejap tidak. Barangkali ada anak yang menghadapi kesulitan sampai tak mampu nak menghulur.

Namun itu bukan masalah mentua, yang penting bawang harus ditumis, cerita perlu dihidang. Sampai rumah anak pertama, canang kisah anak menantu lain. Pergi rumah anak lain, canang kisah anak menantu pertama. Anak yang menghulur lebih disayang-sayang, anak yang memberi sedikit diganyang-ganyang.

Kata orang, syurga di bawah tapak kaki ibu, namun jika ibu kuat membawang, adakah layak syurga itu berada di bawah tapak kakinya? Jika ibu bapa mentua tidak menjadi teladan pada anak menantunya, bagaimana anak menantu mahu mendoakannya?

Ada mentua yang gemar beri pendapat tanpa diminta dan masuk campur dalam urusan hidup anak menantu. Macam mentua tahu semua perkara. Sebenarnya, mentua sendiri tidak tahu semua perkara tentang anak-anaknya.

Benar, mentua yang membesarkan anak-anaknya sejak kecil. Tetapi anak-anak itu kini sudah hidup bersama dengan pasangannya. Mentua hanya kenal anaknya sekadar anak sahaja, bukan kenal dengan sebenar-benarnya.

Masa anak-anak berkahwin, pasangannya yang lebih tahu kelebihan dan kekurangan anak-anak mentua. Oleh itu tak perlulah mentua menceritakan keburukan menantunya pada orang lain kerana menantu juga boleh membuka cerita keburukan anak mentua juga.

Mentua pasti berbangga dengan menantu yang punya kerja bergaji besar atau bisnes yang berjaya. Siapa tak bangga, menantu sudah berjaya sampai dibandingkan dengan menantu lain yang tidak sukses seperti birasnya. Tetapi adakah mentua lupa yang dia ada anak sendiri? Adakah dia mahu anak sendiri dijadikan bahan untuk dibandingkan oleh mentuanya pula?

Anak derhaka memang ada tetapi tiada mentua yang derhaka. Namun begitu mentua zalim memang ada. Tak mustahil mentua menjadi penyumbang kepada perpecahan rumah tangga anaknya jika terlalu banyak masuk campur. Apakah mentua mahu berbuat dosa yang menyebabkan runtuhnya mahligai anak menantu?

Mentua pernah menjadi menantu pada satu masa dahulu. Tentu mentua faham bagaimana rasanya jika mentua banyak campur tangan dalam urusan rumah tangga anak-anak.

 

Pesanan buat mentua

Jika menantu dilayan dengan baik, pasti mentua juga akan mendapat layanan yang baik kembali. Tak bolehlah mentua beri layanan buruk pada menantu, lepas itu berharap menantu layan dengan baik. Kalau mentua berbuat baik, menantu pun akan berbuat baik.

Bayangkan, mentua ada anak perempuan. Kemudian dia menjadi menantu kepada orang lain. Mahukah mentua bila anak perempuannya dilayan dengan buruk oleh mentuanya? Pastinya mentua itu tidak rela.

Jadi mentua kenalah belajar untuk melayan menantu dengan baik, supaya menantu itu boleh berbakti kepadanya bila sudah mencecah usia tua. Boleh jadi tiada anak yang boleh menghantar ke hospital untuk rawatan kesihatan. Pada masa itulah menantu yang menjadi harapan. Bila mentua sudah tiada lagi, menantu boleh mengirimkan doa dan sedekah buat mentua.

Jadi, mentua fikir-fikirkanlah semula, nak berbaik-baik dengan menantu atau sebaliknya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.