Islam

Pendapatan Pasif Untuk Bekalan Akhirat

Pendapatan pasif untuk bekalan akhirat

Pendapatan aktif datang dari sumber gaji seperti kerja di pejabat atau syarikat. Pendapatan pasif pula ada saya ceritakan dalam artikel sebelum ini. Harus diingat pendapatan pasif bukan sekadar untuk hidup di dunia. Pendapatan pasif untuk bekalan akhirat juga harus disediakan. Ada 3 perkara yang menjadi pendapatan pasif untuk bekalan akhirat.

 

pendapatan-pasif-untuk-bekalan-akhirat
Selepas mati, semua amalan akan terputus kecuali 3 perkara, ilmu yang diajarkan, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

 

1. Sedekah jariah. Jika makan di restoran atau kedai makan, saya akan mengeluarkan sebahagian dari wang dari poket untuk diletakkan dalam tabung-tabung derma yang ada di kaunter kedai makan tersebut.

Selain dari kedai makan, tabung-tabung kutipan derma yang ada di surau-surau atau masjid-masjid juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk menjana saham akhirat. Sama ada banyak atau sedikit sedekah jariah yang saya berikan, saya hanya berharap ianya akan diterima oleh Allah.

2. Ilmu yang dimanfaatkan. Apa sahaja ilmu berguna yang diajarkan kepada orang lain bakal memberi manfaat asalkan ianya tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang. Ilmu tersebut boleh terdiri daripada ilmu bisnes, ilmu agama, ilmu kehidupan, ilmu akademik, ilmu kewangan dan sebagainya.

Saya pernah menjadi pensyarah di sebuah institut kemahiran. Di situ saya mengajar subjek grafik sebagai keutamaan. Selepas 4 tahun berkhidmat, saya mengambil keputusan untuk menjadi penulis sepenuh masa. Fokus utama saya ialah bidang bisnes di internet dan kerja kerajaan.

Di blog, saya menulis ilmu-ilmu bisnes, kewangan, hartanah, kesihatan, tips temuduga dan banyak lagi yang saya rasakan ia bernilai untuk dikongsi. Ada artikel yang saya tulis sendiri dan ada yang saya rujuk dan tulis semula berdasarkan pemahaman saya.

Saya turut mempunyai syarikat bersama 2 orang rakan kongsi yang berkaitan dengan peperiksaan kerja kerajaan dan temuduga kerja. Di sini saya menjadi penulis bersama untuk sama-sama menyumbangkan pengetahuan kepada calon-calon peperiksaan yang terlibat. Setiap kali peperiksaan awam menjelang, kami akan edarkan panduan berbentuk ebook.

Saya berharap ilmu pengetahuan yang disumbangkan menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan kepada pembaca dan disebarkan kepada orang lain. Bila pembaca dapat manfaat dari ebook kami, mereka akan dapat membuat persediaan peperiksaan dan temuduga dengan baik.

Bila dapat kerja yang diidamkan, kami juga berasa gembira kerana dengan gaji yang diperolehi dari kerja tersebut boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Secara tidak langsung, tahap ekonomi boleh meningkat.

3. Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya. Kedua orang anak saya masih kecil. Walau bagaimana pun, saya sentiasa berusaha untuk memberikan pendidikan walau pun mereka masih di peringkat kanak-kanak. Belajar untuk jadi manusia dan beribadah sebagai hamba Allah.

Saya akan mengajak mereka untuk bersolat berjemaah atau pun sekurang-kurangnya mengajak mereka untuk membaca surah-surah Al-Quran. Semoga satu hari nanti mereka akan dapat membiasakan diri untuk hidup dalam agama Islam secara menyeluruh. Nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

 

18 thoughts on “Pendapatan Pasif Untuk Bekalan Akhirat”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.