Hartanah

Rancangan Beli Rumah Pertama

Rancangan beli rumah pertama

Bagi mereka yang baru sahaja bekerja perlu membuat rancangan kewangan untuk membeli rumah pertama sebagai tempat tinggal. Tangguhkan dahulu hasrat untuk membeli kereta. Menurut Amir Syahir, rancangan beli rumah pertama harus dimulakan dengan strategi dan bukan sekadar hanya mahu membeli.

Pembiayaan rumah tidaklah sesukar mana. Malah tiada jauh bezanya dengan bayaran kereta. Bezanya pinjaman perumahan jauh lebih lama sehingga mencapai tempoh 35 tahun. Syarat yang perlu dipatuhi ialah mampu bayar semula, berdisiplin dan komited, barulah pihak bank sudi tawarkan pembiayaan.

1. Belajar ilmu hartanah. Jika anda masih baru dalam pelaburan hartanah, luangkan sedikit masa dan wang bagi mendapatkan ilmu dari seminar hartanah atau membeli buku rujukan berkaitan hartanah. Ada banyak buku dan maklumat yang boleh didapati di kedai-kedai buku dan internet seperti ebook kombo kewangan dan hartanah.

Tanpa ilmu yang betul, duit anda boleh melebur dengan lebih banyak. Ada kes di mana wang pendahuluan tidak diperolehi semula kerana pinjaman rumah ditolak oleh bank. Dengan ilmu yang ada, perkara seperti ini boleh dielakkan.

2. Deposit rumah. Biasanya rumah ditempah dengan nilai RM1,000 ke RM2,000. Kemudian 10% bayaran deposit dari harga rumah perlu diserahkan kepada pemaju. Itu tidak termasuk kos untuk bayaran peguam, duti setem dan lain-lain. Jadi sasarkan duit sebanyak 15% dari harga rumah untuk persediaan.

3. Baiki status CCRIS. Jika status CCRIS sebelum ini memaparkan angka 1, 2, dan 3 ke atas, baikilah sehingga dapat angka 0. Tiada CCRIS langsung pun sukar untuk buat pinjaman. Jika mahu adakan CCRIS, anda boleh mohon pinjaman ASB sebanyak RM50,000 atau kad kredit.

Sesudah ada rekod CCRIS, batalkan saja pinjaman ASB dan kad kredit tersebut jika mengganggu DSR. Bank menilai corak pembayaran balik pinjaman anda menerusi laporan CCRIS.

4. Rancang bajet. Beli rumah yang sepadan dengan bajet anda. Pilih rumah mampu milik supaya anda tidak mengalami masalah untuk bayaran setiap bulan. Bincang dengan pegawai bank untuk mengira kelayakan anda.

5. Debt Service Ration (DSR). Anda perlu semak DSR atau nisbah hutang kepada pendapatan. Pastikan ia tidak lebih dari 70%.

 

rancangan-beli-rumah-pertama
Rumah pertama tidak semestinya rumah di atas tanah.

 

6. Lokasi rumah. Pastikan rumah yang anda mahu beli mempunyai kemudahan asas seperti sekolah, hospital atau klinik, kedai runcit, taman permainan dan surau atau masjid. Lebih baik lagi jika ada kemudahan pengangkutan awam seperti komuter, BRT, LRT atau MRT.

7. Kategori rumah. Rumah di atas tanah lebih tinggi nilainya dan meningkat dengan lebih cepat. Rumah bertingkat seperti pangsapuri atau kondominium masih dijual dengan harga yang munasabah dan memberi aliran tunai jika disewakan.

8. Hak milik rumah. Setiap jenis rumah berbeza hak milik. Jika hak milik individu merujuk kepada rumah di atas tanah. Bagi hak milik strata merujuk kepada rumah jenis pangsapuri atau kondominium. Hak milik master yang lebih dari 10 tahun akan mengalami kesukaran untuk pindahan hak milik atau dijual semula.

Kebanyakan bank tidak memproses hartanah Master yang sudah lebih dari 10 tahun. Namun begitu masih ada bank yang memproses hartanah Master iaitu Affin Bank, Public Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam.

9. Pegangan hak milik. Jika pegangan bebas (freehold), ia bermaksud hak milik kekal. Anda ada hak untuk selama-lamanya. Pegangan pajakan (leasehold) pula hak milik selama 99 tahun sahaja. Sebaik sahaja tamat tempoh, ia dikembalikan semula kepada pihak berkuasa. Tempoh pajakan boleh dilanjutkan dengan membuat bayaran premium. Nilai hartanah ini akan menyusut bila tempoh pajakan hampir tamat.

10. Latar belakang pemaju. Selidik siapa pemaju yang membina rumah anda. Pastikan mereka mempunyai rekod dan prestasi yang baik.

3 thoughts on “Rancangan Beli Rumah Pertama”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.