Hartanah

Tips Beli Rumah Pertama

Tips beli rumah pertama

Sebagai orang yang belum ada pengalaman untuk beli rumah, anda perlukan panduan beli rumah pertama yang boleh memudahkan urusan anda. Dengan panduan atau tips beli rumah pertama yang betul, anda boleh elakkan daripada ditipu oleh agen hartanah dan pemaju perumahan. Sedikit sebanyak ia akan melancarkan perjalanan untuk membeli rumah pertama anda. Rujuk kepada panduan asas di bawah :

1. Panduan pertama ialah, harga rumah tersebut mestilah 3 kali ganda daripada jumlah keseluruhan pendapatan tahunan anda.
2. Komitmen keseluruhan untuk bayaran bulanan (termasuk pinjaman kereta dan lain-lain hutang) tidak lebih daripada 50% pendapatan anda.
3. Bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman rumah tidak melebihi 1/3 daripada pendapatan bulanan anda.

Jika pendapatan bulanan anda ialah RM6,000 sebulan, jumlahkan untuk pendapatan setahun, RM6,000 x 12 bulan = RM72,000. Darabkan RM72,000 dengan 3 maka akan dapat jumlah RM216,000. RM6,000 tolak 50% bersamaan RM3,000 adalah had potongan bulanan selepas tolak hutang kereta dan lain-lain. Gaji RM6,000 bahagi 3 = RM2,000 ialah bayaran ansuran bulanan anda untuk mendapat kelayakan pinjaman dari bank.

Gaji RM6,000 sebulan pun belum tentu dapat buat pinjaman rumah. Lihat saja harga rumah hari ini, kebanyakannya bernilai RM200,000 dan ke atas. Usah risau kerana masih ada rumah yang bernilai RM100,000 ke bawah. Jadi anda perlu gandakan usaha untuk memiliki rumah sendiri yang sesuai dengan kemampuan kewangan anda.

Menurut Mohd Fadhli, seorang pembeli hartanah yang berpengalaman menyarankan anda membuat beberapa pelan tindakan sebelum membeli rumah. Langkah ini amat penting untuk mengukur kemampuan hartanah anda serta melihat apakah jenis rumah yang mampu anda miliki.

 

tips-beli-rumah-pertama
Rumah pertama anda mestilah dibeli dengan kemampuan kewangan anda.

 

Semak profail kewangan sebelum memohon

Anda perlu menyenaraikan perkara-perkara seperti di bawah iaitu :

1. Pendapatan kerja iaitu gaji, komisyen, elaun dan pendapatan tambahan.
2. Komitmen anda termasuk hutang kereta, hutang kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman koperasi dan pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB).
3. Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), unit amanah dan pelaburan saham.
4. Simpanan bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.
5. Cukai dan zakat.
6. Bukti pendapatan, pelaburan dan simpanan.

 

Semakan CCRIS dan jumpa pegawai bank

Anda boleh semak rekod CCRIS menerusi AKPK atau cawangan Bank Negara. Bawa kad pengenalan untuk semak CCRIS. Cetak penyata CCRIS anda dan bawa semua senarai profail kewangan yang telah anda sediakan. Jumpa pegawai bank dari setiap bank yang berbeza untuk membuat semakan pinjaman perumahan anda. Jika jawapan yang diterima adalah positif, anda boleh mulakan pencarian rumah yang layak dengan status kewangan anda.

Jika tak berjaya, maka anda perlu semak semula profail kewangan anda. Salah satu cara yang boleh dibuat ialah menambah pendapatan dan mengurangkan komitmen yang ada. Selain itu anda boleh cuba untuk memohon semakan di bank yang berlainan.

 

Tips memilih lokasi rumah pertama

Jika rumah pertama ini anda mahu tinggal bersama keluarga, pilih lokasi yang berdekatan dengan tempat kerja. Elakkan memilih rumah yang mahal. Jika ada rumah yang lebih murah dan jauh sedikit, beli dan sewakan rumah tersebut. Anda pula boleh cari rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja.

Harga rumah banglo pasti mahal, jadi pilih rumah berkembar sebagai alternatif. Jika anda tidak mampu, pilih rumah teres. Selain itu anda boleh miliki rumah kondominium atau apartmen. Untuk mendapatkan rumah yang lebih murah, rumah pangsa dan rumah kos rendah adalah pilihan yang terakhir.

Tidak dinafikan harga rumah hari ini amat tinggi jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu. Anda perlu belajar untuk memiliki rumah dengan harga yang lebih rendah di pasaran. Lihat kemampuan kewangan diri sendiri. Jika gaji RM2,000 sebulan mustahil untuk membeli rumah yang bernilai RM2,000,000.

 

Kaedah beli rumah di pasaran

Cara yang paling biasa ialah beli terus dari pemaju. Harga semasa rumah sedang dibina jauh lebih rendah berbanding rumah yang sudah siap. Namun begitu anda perlu berdepan dengan risiko rumah tidak siap atau rumah siap tanpa kualiti yang baik. selain itu, pasaran rumah sekunder atau subsale adalah pilihan yang terbaik. Cuma anda mungkin dapat rumah jenis lama dengan sedikit kerosakan.

Rumah lelong turut menjadi pilihan kerana harganya yang sangat rendah. Setiap hari ada sahaja rumah yang dilelong masuk dalam iklan. Pilihlah rumah lelong yang tidak didiami sebagai tanda belas kasihan pada pemiliknya. Jika anda bijak, dengan nilai RM10,000 boleh beli rumah di sekitar Rawang, RM60,000 di Damansara Damai dan RM70,000 di Puchong.

Mungkin anda rasa tidak selesa tinggal di kawasan rumah murah. Beli dan sewakanlah supaya anda masih mendapat manfaat dari rumah tersebut. Pastikan anda sewakan lebih sedikit dari bayaran ansuran setiap bulan. Jika anda bayar bank RM500 sebulan, sewakanlah pada kadar RM600 ke RM700 sebulan.

 

Tips semasa membeli rumah

Semasa membeli rumah pertama, mungkin anda tidak berapa mahir. Jadi cari ejen hartanah yang berdaftar supaya mereka boleh membantu anda.  Dari ejen juga anda boleh dapatkan bantuan untuk menyemak harga pasaran rumah yang hendak dibeli. Selain itu, jurunilai hartanah dan pegawai bank yang bertugas di bahagian pembiayaan juga boleh membuat penilaian.

Tempahan untuk belian rumah sekunder hendaklah dibuat di pejabat agensi atau peguam sahaja. Teliti syarat tempahan, pastikan anda dapat kembali deposit jika pinjaman tidak diluluskan. Simpan resit bayaran tempahan sebagai bukti.

Untuk pembelian rumah lelong, anda boleh bida sendiri atau lantik ejen untuk membida bagi pihak anda. Bida harga yang anda mampu sahaja. Jika anda beli terus dari pemaju perumahan, bayar tempahan dalam jumlah RM1,000 ke RM5,000 dan deposit 10% daripada harga rumah. Bagi pembelian rumah sekunder dan rumah lelong, anda boleh lantik peguam sendiri.

Bayaran deposit rumah ialah 10% daripada harga yang dipaparkan manakala kos dokumen ialah 5% dari harga rumah. Anda digalakkan untuk membeli rumah di bawah kemampuan sebenar. Jika harga rumah ialah RM300,000 maka carilah rumah yang berharga RM250,000 sahaja. Sebaik-baiknya gunakan kuota pembiayaan 90% semaksimum yang boleh. Kalau anda layak membuat pinjaman RM200,000 dan mempunyai deposit tunai untuk beli rumah RM200,000 cari 2 rumah bernilai RM80,000 ke RM100,000.

10 thoughts on “Tips Beli Rumah Pertama”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.