Apa nak buat kalau gaji tak cukup
Sudah puas berjimat, gaji masih tak mampu nak tampung belanja. Bukan sebab gaji kecil, tapi komitmen yang tinggi melangit. Nak bayar ansuran rumah, ansuran kereta dan ansuran pinjaman PTPTN. Apa nak buat kalau gaji tak cukup, bajet untuk bercuti pun tak ada.
Mula-mula sekali perlu kurangkan berbelanja. Kalau dahulu guna cuci pinggan jenama Axion, kali ini guna jenama Azian. Beza beberapa sen sahaja tapi kalau simpan dalam tabung boleh dapat sama jumlah dengan BR1M. Dulu sarapan roti sardin, kali ini makanlah roti telur.
Kalau dahulu tengok Astro bayar setiap bulan, berhenti melanggan dan tukar kepada Astro Njoi. Bayar sekali, nak tengok saluran ekslusif belilah kad prabayar tambahan. Nanti bila sudah rasa mahal, terus tengok siaran biasa sahaja.
Sudah jimat tetap tak cukup juga
Anda boleh buat pilihan. Untuk kekal dalam belanjawan sekarang, anda perlukan usaha tambahan. Buat kerja-kerja sampingan seperti kerja lebih masa, ambil upah servis ikut kemahiran anda atau buat komisyen dengan jualan.
Anda sayangkan gaya hidup sekarang, tetapi anda tak mahu hidup di bawah kemampuan. Maka usaha harus ditingkat. Jika anda mahu orang lain bayarkan rumah anda, buatlah rumah tersebut sebagai rumah sewa atau rumah tamu. Untuk lebih banyak tunai, caj ikut kepala.
Jika mahu tuntaskan bayaran kereta, pertimbangkan untuk sewakan kereta anda di hujung minggu. Atau anda boleh pilih untuk memandu dengan Uber. Kalau guna kereta berjenama tempatan, caj dikenakan ikut kadar UberX.
Kalau kereta anda berjenama seperti Honda Civic, komisyen anda akan dapat lebih tinggi kerana ia dalam kategori Uber Black. Tambang mahal dan untuk pelanggan eksklusif. Kereta adalah liabiliti tetapi ia akan menjadi aset jika mendatangkan wang kepada anda.
Tiada modal? Usah buat bisnes yang perlukan pinjaman. Mulakan dengan modal yang rendah contohnya sebagai perunding kewangan, agen hartanah, agen unit amanah dan agen takaful. Jadi agen affiliate di internet pun boleh.
Tiada masa untuk keluar rumah
Hari ini teknologi boleh memudahkan anda tambah pendapatan. Anda boleh berniaga di internet, di laman sosial dan di forum. Buka sahaja Facebook, ada banyak lubuk-lubuk pendapatan. Hanya perlu pilih produk yang boleh dijual dan laku keras sahaja.
Semua orang ada telefon canggih. Kalau tak ada WhatApps itu dianggap ketinggalan. Gunalah aplikasi tersebut untuk kongsikan produk yang anda jual. Itu lebih baik daripada “hantar mesej ini kepada 10 orang dan anda akan hidup kaya”.
Belajar untuk jual seunit, kemudian ulang, ulang dan ulang sahaja. Mudah untuk dikata tapi benar atau tak, anda boleh tentukan sendiri. Hari ini ramai usahawan berkongsi peluang bisnes di laman sosial untuk sama-sama menambah pendapatan. Tinggal pilih dan buat sahaja.
Sebelum menjual, kaji permintaan dan kekuatan produk dahulu. Baru belajar menjual. Pilih satu bisnes atau satu niche dahulu sebelum anda buat banyak bisnes. Fokus untuk menjual satu produk sebelum menjual banyak produk.
Tinggalkan aktiviti tak bermanfaat
Jika masa yang ada tidak cukup, maka anda boleh senaraikan aktiviti yang boleh ditangguhkan supaya anda memiliki lebih banyak masa. Lupakan sebentar kisah politik, masalah ekonomi negara dan kisah rumah tangga orang. Lupakan perkataan yang boleh membazir masa anda.
Jika masih tidak punya masa, tidak punya usaha dan tidak punya kesungguhan, maka lupakanlah cerita untuk menambah pendapatan. Boleh sambung cerita politik, minyak naik setiap minggu dan mengeluh sebab tak dapat BR1M. Jika anda serius nak ubah kewangan, belajar buat duit dengan affiliate sekarang juga.