Kewangan

10 Tips Mudah Beli Rumah Pertama

10 tips mudah beli rumah pertama

Hafizi Zain, pengasas bagi syarikat pembekal cenderamata dan pakaian korporat ada menasihati anak-anak mudah tentang hartanah. 10 tips mudah beli rumah pertama dipetik dari status Facebook beliau sebagai perkongsian.

1. Pinjaman pertama adalah pinjaman hartanah. Usah buat pinjaman kereta, ia akan menyebabkan komitmen yang tinggi sekaligus mengurangkan kelayakan untuk membeli rumah.

2. Pastikan pelanggan bayar pada akaun syarikat. Bagi pemilik bisnes, sediakan akaun bank syarikat untuk terima bayaran dari pelanggan. Jika masuk ke akaun personal, maka ia tidak dikira sebagai pendapatan. Jangan lupa daftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meski pun anda masih makan gaji.

3. Bayar gaji sendiri. Bagi mereka yang mempunyai bisnes sendiri, bayar gaji bulanan termasuk caruman KWSP. Ia akan membantu bila anda memohon pinjaman, ada gaji dari syarikat dan pendapatan bisnes. Buat slip bayaran gaji dan bayar guna cek. Usah buat pindahan perbankan internet.

4. Elakkan dari membuat pinjaman ASB atau pinjaman peribadi. Ia dianggap sebagai komitmen dan bank akan menolak permohonan anda. Jika nak buat pinjaman ASB, mohon selepas pinjaman perumahan diluluskan. Jika ada rancangan untuk beli hartanah lagi, elakkan dari ambil pinjaman ASB dahulu.

5. Beli rumah pertama untuk pelaburan. Jika dibeli untuk duduk sendiri, rumah tersebut jadi beban. Jadikan ia pelaburan Cash Flow, sewakan pada orang lain dan caj bulanan mestilah tidak kurang dari bayaran ansuran kepada bank. Jika dibuat untuk Capital Gain, beli dan simpan rumah tersebut. Bila nilainya meningkat, jual rumah tersebut untuk dapat untung.

 

10 tips mudah beli rumah pertama
Nak beli rumah pertama bukanlah sesukar mana jika ada persediaan awal.

 

6. Elakkan pinjaman suami dan isteri. Setiap peminjam layak dapat 90% pinjaman sahaja untuk rumah pertama dan kedua. Rumah ketiga 70% sahaja. Jika gabung dua nama hanya akan dapat dua buah rumah sahaja. Suami dan isteri boleh rancang untuk beli empat buah rumah, satu duduk sendiri dan sewakan lagi tiga buah rumah yang lain. Untung sewaan boleh guna untuk bayar rumah yang anda duduk sendiri.

7. Bersihkan rekod CCRIS. Pastikan anda mendapat angka 0. Ia menjadi penanda aras anda membayar hutang dengan berdisiplin. Boleh semak di Bank Negara menerusi kiosk yang disediakan.

8. Fokus tiga jenis hartanah. Pertama, rumah dalam pembinaan. Sesuai untuk anda beli dan jual semula bila sudah siap. Harganya pasti akan meningkat. Kedua, rumah sekunder. Rumah ini sudah siap dan perlukan modal lebih tinggi untuk bayaran deposit dan lain-lain bayaran. Ketiga, rumah lelong. Risiko rumah lelong tinggi tetapi jika anda dapat bida pada harga di bawah pasaran, maka keuntungan jadi milik anda.

9. Pilih pemaju terbaik. Jika anda mahu rumah dalam pembinaan, semak pemaju yang mengendalikannya seperti UEM, IOI Group, SP Setia, IJM Land dan Sime Darby. Di sini anda boleh kurangkan risiko rumah tak siap. Banyak kelebihan yang ditawarkan seperti diskaun sehingga 10%, percuma penyaman udara dan rebet faedah pinjaman.

10. Beli rumah mampu milik. Cermin diri sendiri, poket anda tidak sama dengan poket orang lain. Usah terikut nafsu nak beli rumah besar. Pastikan anda mampu menjelaskan bayaran bulanan dan kos selenggara yang dikenakan. Rancang wang anda untuk mencari rumah yang sesuai dengan tahap kewangan anda.

 

Jika anda nak belajar buat pinjaman rumah, sila rujuk artikel ini sekarang juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *