5 kesilapan utama pelaburan hartanah
Bila kita sudah ada sedikit duit, terutamanya hasil dari perniagaan, kita mula berminat untuk membuat sedikit pelaburan, terutamanya dalam bidang hartanah. Pelaburan hartanah dikatakan antara pelaburan yang paling mudah untuk diuruskan. Hanya dengan membeli satu rumah apartment kita mampu buat duit hasil dari sewaan. Betul?
Menurut Dr Azizan, ada 5 kesilapan utama pelaburan hartanah. Sebenarnya, tak semudah yang disangka. Ada beberapa kes di mana pelaburan hartanah memberikan banyak masalah kepada pelabur. Terutamanya yang tiada ilmu pelaburan hartanah yang secukupnya.
Antara 5 kesilapan utama yang dilakukan dalam pelaburan hartanah terutamanya oleh pelabur yang baru nak berjinak-jinak dalam bidang ini ialah :
1. Beli ikut perasaan. Bila beli rumah untuk kita duduki, 90% orang membeli berdasarkan emosi. Tetapi, bila kita dapatkan hartanah yang kita mahu gunakan untuk tujuan pelaburan kita tak boleh beli hanya bergantung dengan faktor emosi. Banyak yang perlu kita kaji sebelum buat keputusan untuk membelinya. Antara yang perlu dititik beratkan ialah lokasi, kemudahan awam, gaya hidup, permintaan dan banyak lagi.
2. Gagal merancang pelaburan. Kadang-kadang, ada orang yang buat pelaburan hartanah kerana ianya trend. Ini menyebabkan mereka gagal untuk membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk hartanah mereka. Mereka tidak tahu nilai pasaran hartanah mereka, tak tahu apa nak buat dengan hartanah yang telah dibeli dan mereka tak dapat jangka permintaan pasaran.
3. Beli hartanah yang salah. Ini adalah antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur-pelabur baru. Pelabur baru terlalu teruja dengan promosi-promosi dan pameran hartanah yang selalu digembar-gemburkan sebagai hebat dan menarik. Tanpa ilmu ramai yang beli hartanah yang salah, yang tidak ada permintaan atau bermasalah seperti projek lambat siap, tertangguh dan sebagainya.
4. Pengurusan kewangan yang teruk. Ramai orang yang ada hartanah yang disewakan teruja bila dapat duit sewa tanpa berfikir bahawa ada bayaran ansuran bank dan penyelenggaraan yang perlu dibuat. Akibatnya, duit sewa entah ke mana, hutang makin bertambah. Gagal melunaskan bayaran ansuran hartanah dengan bank menyukarkan untuk anda membeli hartanah lain di masa akan datang.
5. Tak cukup ilmu pelaburan hartanah. Memang seronok bunyinya bila kita ada hartanah untuk disewakan. Pada fikiran orang ramai kita akan mudah dapat untung hasil dari sewaan tanpa perlu kerja keras. Salah! Jika anda tak ada ilmu tentang pelaburan hartanah, anda akan menghadapi pelbagai masalah. Anda tak tahu bagaimana nak berurusan dengan penyewa, dengan isu strata tanah, cukai pintu, penyelenggaraan dan berbagai-bagai masalah lagi.
Jika anda masih baru dalam bidang hartanah, sila baca artikel panduan asas beli rumah pertama sekarang juga.