12 contoh soalan dan jawapan temuduga yang popular
Bagaimana nak pastikan anda bersedia dengan soalan temuduga yang popular dan kerap ditanya? Bagaimana anda nak jawab sehingga meyakinkan panel penemuduga sehingga diambil bekerja dengan mereka?
Anda perlu tahu soalan asas ketika temuduga yang kerap ditanya oleh panel-panel penemuduga dari pelbagai jabatan kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan sesi temuduga bagi mencari calon pekerja yang sesuai.
1. Soalan berkaitan peribadi
Objektif soalan
- Menenangkan calon temuduga guru.
- Menurunkan rasa gementar calon.
- Melihat sikap ramah mesra calon.
- Melihat kesanggupan calon untuk berkhidmat sebagai guru.
- Mengesan masalah dalam diri calon.
- Melihat kesediaan calon untuk menyelesaikan masalah.
Contoh soalan
- Sila perkenalkan diri anda atau ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang anda.
Cadangan jawapan
Jawapan boleh diberi menerusi 3 pilihan iaitu :
A. Kronologi – Ceritakan perihal diri anda berdasarkan turutan.
- Saya Ridzuan bin Loqman. Nombor kad pengenalan 851122-10-1357. Saya adalah anak sulung dari 5 adik-beradik. Sekarang saya bekerja di pasaraya Hero sebagai juruwang sejak September lepas.
B. Kreatif – tidak mengikut turutan dan disampaikan dengan cara yang lebih berkesan dan menarik perhatian penemuduga.
- Saya Ridzuan bin Loqman. Nombor kad pengenalan 851225-10-5045. Saya adalah pelajar terbaik dalam mata pelajaran Matematik dalam SPM 2002. Saya juga merupakan seorang pemain bola sepak yang mewakili negeri Selangor dan pernah memenangi kejohanan Bola Sepak Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2005.
C. Retorik – Menggunakan gaya bahasa yang bersifat memujuk.
- Ridzuan ialah nama yang telah diberikan oleh bapa saya Loqman. Seperti yang dipaparkan, kad pengenalan saya bernombor 851222-10-5045. Saya mempunyai semua kelayakan yang cemerlang sama ada akademik mahupun bukan akademik untuk diberikan tugas sebagai seorang guru. Dan yang paling utama ialah saya seorang yang jujur dan amanah kepada majikan dan organisasi yang saya sertai.
Tip menjawab
Bagi soalan yang berkaitan dengan hal peribadi, pastikan bahawa anda :
- Tidak mengulang maklumat peribadi yang telah diperincikan dalam resume.
- Menyenaraikan kejayaan yang telah dicapai dengan terperinci.
- Menceritakan nilai-nilai murni diri anda merangkumi pengalaman hidup dari kecil hingga kini.
- Tempoh menjawab semasa temuduga diuruskan dalam masa kurang dari 5 minit.
2. Soalan berkaitan pengalaman
Objektif soalan
- Menilai pengalaman kerja yang pernah dilalui calon guru.
- Menilai kaitannya dengan tugas dalam kerjaya guru.
Panel temuduga akan meneliti jawapan berdasarkan informasi yang telah calon berikan contohnya :
- Persamaan dan kaitan pengalaman calon dengan tugas jawatan yang dipohon.
- Bagaimana pengalaman tersebut membantu calon ketika menjalankan tugas.
- Sejauh mana calon dapat menggunakan pengalaman tersebut dalam tugas guru.
- Reaksi calon terhadap pengalaman-pengalaman kerjaya terdahulu.
- Mempertimbangkan pengalaman calon untuk diserapkan ke jawatan guru.
Kaedah soalan
Soalan yang bakal ditanya berbentul siasatan, perincian dan butiran.
Contoh soalan
- Apakah yang telah anda lakukan sebelum ini?
- Ceritakan pengalaman kerja anda yang lepas.
- Bagaimana kerja anda sekarang? Adakah ia boleh membantu tugas yang diminta?
- Apa yang anda boleh dapati sepanjang melaksanakan kerja tersebut?
- Adakah pengalaman berkhidmat di syarikat swasta dapat menambah nilai perkhidmatan anda di sektor awam?
Cadangan jawapan
- Selepas menduduki peperiksaan SPM(V) hingga hari ini, saya membantu pakcik saya berniaga di pasar malam di sekitar Klang. Di antara kerja yang saya laksanakan ialah mengambil tempahan dan memastikan stok barang-barang makanan telah sedia untuk dijual. Saya perlu bangun awal setiap hari untuk keluar berjumpa dengan pembekal bagi memastikan kualiti barang yang dibeli memenuhi keperluan pelanggan.
Tip menjawab
- Mengutamakan pengalaman yang berkaitan dengan kerjaya guru.
- Membuat perbandingan dan persamaan antara tugas guru dengan kerjaya dan pengalaman terdahulu.
- Menyelidik dan memahami pelajaran yang diperolehi dari pengalaman terdahulu.
3. Soalan berkaitan akademik
Objektif soalan
- Melihat pencapaian calon sebagai ukuran kejayaan dan motivasi.
- Mengukur keupayaan calon menerusi keputusan peperiksaan.
- Mengesan strategi calon untuk mempertingkatkan pencapaian akademik dan bukan akademik.
- Mengukur tahap kepuasan calon dalam bidang akademik.
Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan dan penerokaan.
Contoh soalan
- Apa yang membuatkan anda tertarik untuk menyambung pelajaran dalam bidang senilukis?
- Mengapa awak memilih mata pelajaran Sains berbanding Matematik yang mempunyai prospek kerjaya yang lebih cerah?
- Mengapa anda tidak meneruskan pengajian sedangkan anda memiliki keputusan yang baik di peringkat ijazah?
Cadangan jawapan
- Saya bersetuju dengan kenyataan tuan. Ramai rakan-rakan saya telah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana. Saya membuat keputusan untuk bekerja kerana ingin mendapatkan perbelanjaan bagi meneruskan hidup. Saya merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di kemudian hari. Kejayaan masih boleh dikecapi walau pun tidak memiliki kelulusan pendidikan yang lebih tinggi. Semasa bekerja pun saya masih boleh belajar secara separuh masa. Ianya saya jadikan satu cabaran untuk meningkatkan masa depan saya.
Tip menjawab
- Fokus pada keputusan akademik yang terbaik dalam semua peringkat pendidikan contohnya mendapat A1 dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.
- Nyatakan anugerah yang pernah diterima di peringkat sekolah, negeri dan negara.
- Keputusan cemerlang yang diperolehi menjadi pengukur kepada peribadi calon seperti rajin, berdedikasi dan berdisiplin.
4. Soalan berkaitan kemahiran
Tujuan soalan
- Meneliti kemahiran calon dan kesesuaiannya sebagai guru.
- Mempunyai kemahiran wajib contohnya mengajar, mendidik dan menerangkan.
- Kemahiran tambahan, menggunakan perisian khas komputer untuk kerja-kerja dokumentasi seperti Microsotf Office dan Open Office.
- Kemahiran unik seperti memainkan alat muzik, membaca al-quran bertajwid dan menyanyi.
Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan.
Contoh soalan
- Apakah kemahiran yang boleh anda tawarkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia?
- Terangkan bagaimana anda menggunakan perisian Microsoft Acces untuk membuat kiraan.
- Apakah kemahiran milik anda yang boleh memudahkan kerja dan tugasan anda nanti?
- Apakah kemahiran-kemahiran yang perlu ada oleh seseorang guru untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya?
Cadangan jawapan
- Saya memiliki kemahiran dalam bidang senilukis dan senireka grafik. Selain daripada membuat rekabentuk grafik, saya mempunyai kepakaran dalam perisian Microsoft Office untuk membuat pendataan di samping membuat pengucapan awam. Saya juga mahir dalam komunikasi bahasa ketiga iaitu Mandarin.
Tip menjawab
- Menerangkan kemahiran yang calon miliki mengikut keutamaan.
- Memperincikan butiran bagi kemahiran calon, misalnya menaip 50 patah perkataan seminit.
- Mendapatkan testimoni dan bukti setiap kemahiran secara bertulis.
5. Soalan berkaitan tugas jawatan
Tujuan soalan
- Melihat kadar pengetahuan calon berkenaan tugas guru yang dipohon.
- Menilai persediaan dan persiapan temuduga calon guru.
- Mengukur tahap minat calon terhadap kerjaya guru.
Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan. Ia akan menilai dan mengukur tahap pengetahuan dan kefahaman calon terhadap kerjaya guru.
Contoh soalan
- Terangkan perkara yang anda tahu berkaitan dengan jawatan guru.
- Ceritakan tentang tugas jawatan guru yang anda tahu?
- Jika anda dilantik ke jawatan guru, apakah tugas dan tanggunjawab yang perlu dilaksanakan?
Cadangan jawapan
- Sebagai seorang guru, saya akan menjalankan tugas mendidik berdasarkan subjek yang diajar. Jika saya diberi amanah untuk menjadi guru kelas, tanggungjawab yang bakal saya laksanakan ialah perkara yang berkaitan rutin harian seperti merekod kehadiran pelajar, memastikan kelas sentiasa ceria dan mengambil tindakan ke atas pelajar yang terlibat dalam kes melanggar disiplin sekolah.
Tip menjawab
- Perincikan tugas guru dengan contoh-contoh yang memperlihatkan calon sedang melaksanakan tugas tersebut.
- Berikan jawapan khusus, bukan bersifat umum.
- Rujuk kepada kaedah 4W 1H apabila menjawab soalan. Contohnya :
- When – bila waktu calon akan mengajar.
- Where – di mana calon akan mengajar.
- Why – mengapa calon perlu mengajar.
- Who – siapa yang akan diajar.
- How – bagaimana cara calon mengajar.
- Pengetahuan tentang kerjaya guru adalah penanda aras bagi persediaan, inisiatif dan keupayaan calon guru.
6. Soalan berkaitan perkhidmatan awam
Tujuan soalan
- Melihat kepekaan calon guru dan menduga pengetahuannya tentang perkhidmatan awam.
Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan.
Contoh soalan
- Mengapa anda ingin berkhidmat dengan sektor perkhidmatan awam?
- Berikan pandangan anda tentang program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
- Jika anda bertugas sebagai guru sukan, apakah tugas yang boleh dilaksanakan bagi membantu meningkatkan tahap sukan di sekolah anda?
- Apakah cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh sektor perkhidmatan awam di Malaysia?
- Berikan cadangan yang efektif bagaimana anda dapat membantu gejala rasuah di kalangan penjawat awam.
Cadangan jawapan
Pada pandangan saya, program sedia ada hendaklah diperkukuhkan di samping pihak yang berkuasa mengambil inisiatif seperti yang berikut :
- Menjalankan penilaian khas berkaitan rasuah terhadap calon guru.
- Menanamkan nilai anti rasuah pada pelajar menerusi sistem pendidikan.
- Menjalankan audit program mencegah rasuah secara mengejut dalam sesebuah institusi perkhidmatan awam.
Tip menjawab
- Berikan jawapan yang selari dengan dasar, undang-undang dan peraturan Kementerian.
- Jelaskan semua perkara yang berkaitan dengan tugas dan peranan calon dalam bidang pendidikan secara teliti.
- Mengambil berat tentang isu semasa yang berkaitan dengan perkhidmatan guru yang menjadi tumpuan di kalangan guru-guru, Kementerian dan masyarakat Malaysia.
Artikel dalam blog ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Boleh rujuk panduan temuduga kerja kerajaan dan swasta di bawah untuk persediaan awal :