7 cara selesaikan hutang kad kredit dengan pantas
Kad kredit boleh dikategorikan sebagai pinjaman tanpa cagaran yang ditawarkan kepada sesiapa yang layak. Had penggunaan kad kredit biasanya 3 hingga 4 kali gaji bulanan pelanggan. Faedah bagi kad kredit ini bermula dari 15% hingga 18% setahun. Bahaya kad kredit ini ialah anda sebenarnya menggunakan wang dari masa depan anda.
Ada seorang pengguna kad kredit ini mempunyai hutang sebanyak 5 angka. Setiap bulan beliau perlu sediakan RM600 untuk bayaran kad kredit sahaja. Hutang kad kredit ini akan membeli kesan buruk pada Debt Service Ratio (DSR) jika ada hendak membeli rumah kerana ia akan merendahkan skor risiko kredit anda.
Lebih tinggi DSR, lebih rendah peluang untuk anda mendapatkan pembiayaan. Mahu atau tidak, anda perlu lakukan 7 langkah di bawah ini dengan segera :
1. Kurangkan penggunaan kad kredit. Lebih banyak anda guna kad kredit, lebih banyak faedah yang perlu dijelaskan. Usahakan untuk guna wang tunai atau kad debit. Jika anda tak mampu berbelanja secara tunai, boleh jadi anda sedang hidup di luar kemampuan diri.
2. Hentikan bayaran auto debit dari kad kredit. Jika kad kredit anda sudah melebihi 50% dari had kredit, hentikan semua bayaran automatik dari kad kredit anda. Contoh bayaran auto debit yang boleh dihentikan ialah bil elektrik, bil air dan keahlian gimnasium. Bila hutang sudah bertimbun, bayaran minimum sahaja tak mampu untuk mengurangkan komitmen anda.
3. Beli barang keperluan bukan kemahuan. Hentikan membeli barang yang tak perlu. Pakai sahaja barang yang ada, baiki bila ada keperluan. Usah terikut nak pakai telefon bimbit mahal, sportrim kereta yang bergaya dan pakaian berjenama premium. Jika sebelum ini anda minum kopi RM19.90 secawan, carilah kopi yang bernilai RM4.90 dan ke bawah.
4. Usah bertangguh bayar ansuran kad kredit. Faedah kad kredit ialah 15% hingga 18% setahun. Bonus Amanah Saham Bumiputera jauh lebih rendah dari itu. Jadi bayarlah segera hutang kad kredit anda. Jika lambat, ia akan memberi kesan buruk pada CCRIS. Rekod yang buruk akan menyukarkan anda untuk membuat pembiayaan rumah kerana CCRIS hanya akan dikemaskini 2 bulan ke hadapan.
5. Guna bonus tahunan untuk langsaikan hutang. Bonus yang anda terima di tempat kerja, usah dibelanjakan pada tempat lain. Gunakan ia untuk melunaskan hutang kad kredit anda.
6. Jual barang terpakai di rumah anda. Ada koleksi komik Hong Kong & Jepun, mainan Transformers atau barang antik dalam rumah? Jual di media sosial dengan harga yang lebih tinggi. Pasti ada pembeli yang berminat. Anda juga boleh jual perabot dan barang-barang lain yang sudah jarang digunakan lagi. Hasil jualan boleh digunakan untuk melangsaikan kad kredit.
7. Tambah pendapatan sambilan. Jika pendapatan sedia ada sudah tak cukup, carilah sumber pendapatan yang kedua. Anda perlu selesaikan caj faedah kad kredit atau baki kad kredit anda takkan berkurang. Anda boleh belajar buat duit secara sambilan seperti menjadi ejen hartanah, ejen dropship atau jual barang ke luar negara dalam USD.